Kuala Lumpur: Seorang pengurus restoran dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan menunjukkan kemaluannya kepada tiga pelajar sekolah, bulan lalu.

Majistret Mohd Faizal Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Wang Chiu Seng, 52, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dua bulan bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, Mohd Faizal memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak daripada tarikh dia ditangkap iaitu 19 Mei lalu.

Wang dituduh menunjukkan kemaluannya di hadapan dua pelajar berusia 14 tahun, di perhentian bas berhadapan sebuah sekolah, di Dang Wangi di sini, pada 3.35 petang, 7 Mei lalu.

Tertuduh juga didakwa menunjukkan kemaluannya kepada pelajar perempuan berusia 17 tahun, di tempat sama, 2.15 petang, 12 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan dia melakukan kesalahan itu dalam keadaan mabuk dan mengalami tekanan perasaan akibat beban hutang dan baru bercerai dengan isterinya, selain penanggung tunggal keluarga termasuk tiga anak yang masih bersekolah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ezrene Zakariah, memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh kerana kejadian itu mengakibatkan trauma terhadap ketiga-tiga pelajar itu. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2015 @ 8:52 PM