AINA Abdul. FOTO Rohanis Shukri
AINA Abdul. FOTO Rohanis Shukri
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Komposer dan penyanyi wanita popular, Aina Abdul, 31, membuktikan dirinya sentiasa bersikap terbuka serta bersedia menyanyikan lagu ciptaan pengkarya lain sekiranya mendapat peluang dan lagu dihasilkan itu sesuai.

Ia berikutan, Aina akhirnya mengakui dia berasa amat berbesar hati, gembira dan bersyukur apabila dapat bekerjasama merakamkan lagu baharu hasil ciptaan komposer dan penyanyi wanita terkenal dari Indonesia, Melly Goeslow.

Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani berkata, dia tidak pernah terfikir dapat merakamkan lagu ciptaan Melly walaupun sudah bertahun-tahun menyanyikan 'cover' lagu pengkarya tersohor berkenaan  untuk dimuatnaik di saluran YouTube miliknya.

"Alhamdulillah, saya gembira akhirnya dapat juga menyanyi dan merakamkan lagu ciptaan Melly walaupun secara duet bersama penyanyi Indonesia, Fabio Asher untuk runut bunyi (OST) filem Cinta Tak Pernah Tepat Waktu arahan Hanung Bramantyo.

"Saya sudah merahsiakan kolaborasi ini sejak tahun lalu lagi dan pada masa itu juga sebenarnya banyak kali saya perlu berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Jakarta. Walaupun ada juga yang bertanya, tapi ketika itu saya perlu berahsia dan tidak boleh nak berkongsikannya. 

"Lagu ini sudah dibincangkan dari tahun lalu dan akhirnya jadi kenyataan. Pembikinannya memakan masa berbulan juga dan saya memang tidak sabar merakamkan lagu ini sehinggalah muzik video selesai dibuat sepenuhnya di Jakarta, semalam," katanya kepada Harian Metro. 

Terdahulu,  Aina ditemui media ketika hadir pada sesi sidang media sempena konsertnya bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) pada 10 dan 11 Mei depan di Hotel Traders, di sini, petang tadi.

Mengulas juga apa yang membuat dia terbuka hati mahu menyanyikan lagu komposer lain, penyanyi lagu  Sumpah ini berkata, bukan peluang yang mudah untuknya mendapat peluang  bekerjasama dengan Melly.

"Sebenarnya saya terima saja karya lagu daripada komposer lain, tapi yang ini peluang berbeza sedikit. Melly bukan nama yang baharu, malah sangat besar dan dia adalah antara pelopor komposer wanita yang saya banyak belajar daripada karya-karya dihasilkannya. 

"Macam saya kata, saya tak pernah terfikir pun untuk kami dapat bekerjasama dalam masa sesingkat ini. Saya tak sangka yang saya akan duduk berhadapan dengan Melly di dalam studio, meskipun hanya melihat dia dari sofa yang saya duduk dan tidak berbual sangat pun.

"Apapun, banyak benda yang dapat  saya belajar dan amat teruja semua ini terjadi. Apatah lagi, Melly juga seorang pengkarya yang tidak menyekat kreativiti penyanyi lain dan memberikan kebebasan untuk saya menyampaikan lagu itu dengan baik," katanya memberitahu proses rakaman selama tiga jam.

Difahamkan juga, filem Cinta Tak Pernah Tepat Waktu dihasilkan oleh Dapur Film serta diterbitkan produksi filem dan konsert dikenali Seven Skies Motion dan K Studio yang mengisahkan mengenai pergolakan cinta seorang penulis buku, Daku Ramala lakonan Refal Hady.

Diadaptasi daripada novel terlaris Indonesia hasil tulisan Phutut EA, filem ni turut dibintangi oleh pelakon dari Malaysia iaitu Mira Filzah bersama barisan pelakon Indonesia seperti Refal, Nadya Arina dan Carissa Perusset.

Karya mengangkat dilema pencarian cinta sejati dalam hidup seorang lelaki yang berkenalan dengan tiga wanita berbeza ini dijangkakan bakal menemui penonton di pawagam di Malaysia dan Indonesia dalam beberapa bulan lagi. 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 8:06 PM