Mohd Senin memberi semangat kepada Irfan Wafiy yang akan menduduki UPSR mulai esok. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohd Senin memberi semangat kepada Irfan Wafiy yang akan menduduki UPSR mulai esok. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein


“SAYA harap kesihatan tidak mengganggu saya sepanjang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Saya sudah bersedia, walaupun dalam keadaan begini, saya masih boleh berusaha,” kata Irfan Wafiy Idham Wazir, 12.

Irfan Wafiy yang juga pesakit Myokymia akibat pencemaran Sungai Kim Kim, Pasir Gudang Mac lalu, akan menduduki UPSR mulai esok.

“Saya masih perlu ulang kaji lagi, sebab ada lagi yang tidak tahu. “Kena bersungguh-sungguh lagi supaya dapat jawab dengan baik,” katanya yang mensasarkan semua A dalam peperiksaan itu.

Sementara itu, ibunya, Norlela Abu Hashim, 45, berkata, anak lelakinya itu kelihatan lebih tenang menjelang UPSR berbanding dirinya yang agak risau.

“Irfan (Irfan Wafiy) tenang saja, saya pula yang risau. Dia sasarkan dapat semua A dalam UPSR. Harap kesihatannya tidak mengganggunya sepanjang dia menduduki UPSR.

“Irfan sudah membuat pelbagai persiapan termasuk mengulang kaji pelajaran di rumah selain pusat tuisyen,” katanya.

Mengakui keadaan kaki Irfan yang semakin kerap menggigil, Norlela berkata, Irfan terpaksa banyak berehat ketika mengulang kaji pelajaran.

“Kalau kata mengganggu itu, memanglah. Ketika ulang kaji pelajaran, tiba-tiba kakinya menggigil.

“Bila lama sangat, dia penat, dia perlu luruskan kaki dan terpaksa berhenti, rehat lagi. Kadang-kadang perlu tidur dulu, bangun sambung ulang kaji semula.

“Sejak minggu lalu, di sekolah pula, guru mengadakan kelas tambahan sebagai pecutan akhir menjelang UPSR. Setiap hari pulang 3 petang, malam tuisyen lagi.

“Memang saya tahu dia penat, tetapi saya nampak dia kuat melawan masalah kesihatannya,” katanya.

Menurut Norlela, keluarganya berpuas hati apabila pengurusan sekolah memaklumkan kepadanya Irfan akan ditempatkan di dewan peperiksaan berpenghawa dingin untuk keselesaan dan mengelakkannya menghidu udara tidak sihat.

“Walaupun dewan peperiksaan di tingkat satu, tetapi Irfan masih boleh menaiki tangga dengan perlahan.

“Guru maklumkan dia akan duduk dalam dewan ‘aircond’. Maklumlah kualiti udara di Pasir Gudang ini tidak menentu, masih belum boleh dikatakan sihat dan baik.

“Doktor juga beritahu boleh hentikan sementara ubat yang diambil kerana kesannya mengantuk. Jadi, dua minggu ini saya tak beri ubat yang boleh buat Irfan mengantuk, supaya dia boleh duduki peperiksaan dengan lancar,” katanya.

Norlela berkata, Irfan yakin untuk menyasarkan semua A dalam peperiksaan UPSR ini selepas melihat keputusan percubaannya yang agak baik iaitu 4A 2B.

Sebagai ibu, Norlela turut mendoakan anaknya itu mendapat keputusan cemerlang sekali gus memenuhi impian Irfan untuk menyambung pelajaran ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

“Irfan memang nak ikut jejak kakak-kakaknya masuk SBP tetapi dia selalu risau dan fikir SBP tidak akan ambil dia kerana keadaan dia yang bertongkat dan keadaan kakinya itu.

“Saya sentiasa beri dia semangat dan pesan supaya tidak terlalu memikirkan soal itu, sebaliknya fokus pada UPSR terlebih dulu.

“Saya akan cakap, Allah akan sembuhkan kaki Irfan, jangan risau,” katanya.

Pada masa sama, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Dahlia, Mohd Senin Kassim turut memberikan kata-kata semangat kepada Irfan ketika bertemu muridnya itu selepas selesai kelas tambahan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 5:52 PM