Pasukan forensik melakukan siasatan di tempat kejadian.
Pasukan forensik melakukan siasatan di tempat kejadian.
Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Nilai: Seorang peniaga kedai kosmetik maut selepas terkena tiga das tembakan ketika mahu mengambil keretanya di sebuah restoran di Bandar Baru Nilai, di sini, malam tadi.

Sumber polis berkata, dalam kejadian 11.10 malam itu, mangsa dikatakan baru selesai menghadiri majlis makan malam di restoran berkenaan.

Katanya, mangsa, lelaki berusia 34 tahun, berjalan bersama rakannya berusia 30-an mahu mengambil keretanya di tempat parkir dan didatangi sebuah kereta jenis Audi.

"Seorang daripada suspek dalam kenderaan berkenaan kemudian melepaskan empat das tembakan terhadap mangsa dari jarak dua meter dan tiga tembakan mengenai mangsa.

"Menyaksikan mangsa dalam keadaan tidak bermaya, kedua-dua suspek akhirnya melarikan diri," katanya.

Menurut sumber polis, mangsa yang pada awalnya masih sedarkan diri dibawa rakannya ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), dekat sini namun meninggal dunia sejurus tiba di pusat perubatan terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2015 @ 1:53 AM