Kuala Lumpur: Bank Rakyat, optimis menjadi institusi kewangan ketiga terbesar di Malaysia bagi rancangan jangka panjangnya bersandarkan potensi kewangan Islam dan kedudukannya sebagai peneraju pasaran segmen perbankan runcit dalam pinjaman peribadi.

Setakat Januari hingga Jun 2014, Bank Rakyat mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat (PBTZ) RM2.50 bilion dan menduduki tangga kedua dalam segmen aset kewangan Islam di Malaysia sebanyak RM86.5 bilion.

Naib Presiden Kanan, Pemasaran dan Komunikasinya, Saliman Zainal berkata, perbankan runcit kekal perniagaan utama Bank Rakyat yang menyumbang kepada hampir 90 peratus baki keseluruhan pembiayaan berdasarkan permohonan pembiayaan perumahan.

Beliau berkata, bagi mencapai kedudukan ketiga terbesar itu, Bank Rakyat akan mempelbagaikan produk dan segmen perniagaan yang ketika ini mempunyai dua segmen perniagaan utama iaitu runcit dan korporat.

“Walaupun ketika ini, segmen runcit mendominasi perolehan Bank Rakyat, tetapi kami ingin meningkatkan sumbangan korporat pada masa depan. Segmen korporat berpotensi meningkat 10 peratus dari tahun ke tahun, ” katanya, semalam.

Saliman berkata, pihaknya juga mempelbagaikan produk daripada segmen perbankan runcit sedia ada, termasuk produk terbaru iaitu kewangan perdagangan dalam segmen korporat yang akan diperkenalkan tahun depan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan Bank Rakyat menukar statusnya kepada bank komersial, beliau berkata, keadaan itu mungkin menjadi satu pilihan tetapi ia sukar untuk dilaksanakan memandangkan terdapat polisi dan tujuan penubuhan Bank Rakyat itu sendiri.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mat Noor Nawi berkata, bank koperasi Islam terbesar di Malaysia itu komited meningkatkan jumlah asetnya hampir RM90 bilion menjelang akhir tahun ini berbanding RM86 bilion yang direkodkan setakat Jun 2014.

“Kami yakin untuk mencapai pertumbuhan aset tahun ini terutama disumbangkan oleh segmen perbankan runcit yang terbesar iaitu daripada pembiayaan peribadi dan kereta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 5:07 AM