AFP

Dublin: Kapten England, Wayne Rooney percaya perancang Aston Villa Jack Grealish (gambar) perlu mewakili negara kelahirannya England bukannya Ireland.

Grealish, 19, yang mempunyai tiga generasi dari Ireland dan beraksi untuk negara itu pada peringkat remaja namun Persatuan Bolasepak England (FA) mahu mendapatkan khidmatnya susulan beberapa persembahan cemerlang untuk Villa sejak kebelakangan ini.

Rooney juga berketurunan Ireland namun menjelang perlawanan persahabatan England menentang Ireland dia mengakui tidak pernah terlintas untuk beraksi dengan negara lain.

“Saya percaya anda perlu bermain di negara anda dilahirkan namun peraturan tetap peraturan,” katanya kelmarin.

“Terpulang kepadanya (Grealish) membuat keputusan dengan segera.

“Saya tidak pernah terfikir beraksi untuk Ireland. Saya dilahirkan di England dan seorang Inggeris.”

Grealish, pemain kelahiran Birmingham, menolak tawaran pengurus Ireland, Martin O’Neill untuk aksi persahabatan antarabangsa. Pengurus England, Roy Hodgson berkata beliau tidak memilih pemain remaja itu kerana khuatir akan mencetus kontroversi.

Rooney mendedahkan ketika berusia 16 tahun ketika bersama skuad remaja Everton, pengurus Ireland Mick McCarthy mahu mendapatkannya, menggunakan pemain tengah antarabangsa Ireland, Lee Carsley sebagai orang tengah.

“Lee Carsley, ketika saya di Everton, bertanyakan saya mengenai perkara itu, ia tidak pernah terlintas di fikiran saya,” katanya.

“(Saya mempunyai) datuk dari Ireland, jadi jika mereka mahu saya beraksi untuk Ireland, saya pasti mereka memberitahu sendiri! Ia sesuatu yang saya tidak pernah fikirkan.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2015 @ 5:09 AM