AFP

Milan: Apabila Andrea Pirlo dan Xavi Hernandez bertembung sesama sendiri buat kali terakhir pada final Liga Juara-Juara awal pagi Ahad ini, bukan setakat Liga Juara-Juara menjadi pertaruhan.

Bagi peminat bola sepak, mereka turut berharap untuk melihat kelibat serta kebijakan yang menjadikan dua bintang Juventus dan Barcelona itu sebagai pemain tengah terbaik dunia.

Gembar-gembur sebelum perlawanan mungkin tertumpu bagaimana Juventus, yang tampil pada final pertama sejak kalah kepada AC Milan pada 2003, berusaha untuk menyekat kelincahan Lionel Messi.

Namun pemain tengah Barca, Andres Iniesta percaya peminat di seluruh dunia pasti terhibur ketika Pirlo dan Xavi berusaha mengemudi pasukan masing-masing memburu kegemilangan Eropah.

“Menarik sekali dua pemain terbaik dunia bola sepak tampil berdepan satu sama lain,” kata Iniesta.

“Bagi peminat yang menonton bola sepak, untuk menyaksikan Pirlo lebih sinonim dengan bola sepak yang cantik. Melihat kariernya, caranya bermain, kepentingan peranannya di tengah, Pirlo adalah teladan bagi setiap pemain.”

Iniesta dan mungkin majoriti penyokong Barca percaya “Xavi adalah pemain nombor satu” dunia di posisinya. Memikirkan posisi tengah, tiada pemain sebagus Pirlo atau Xavi.

Xavi bermain sepanjang kariernya di Barcelona, menyertai kelab Catalunya itu menerusi akademi remaja terkenal La Masia pada usia 11 tahun dan tampil memenangi lapan kejuaraan La Liga, tiga trofi Liga Juara-Juara dan muncul tonggak utama Sepanyol yang menjuarai Piala Dunia 2010 dan dua Kejohanan Euro.

Pencapaian Pirlo mungkin tidak terlalu banyak namun pemain berusia 36 tahun itu tampil selepas bergelumang dengan rencah Serie A Itali.

Di kelab Serie B, Brescia bakat Pirlo dikenal pasti jurulatih Carlo Mazzone, yang memberikannya peranan sebagai pemain tengah bertahan.

Berikutan tiga tahun kurang memberangsangkan di Inter Milan, ia posisi dikuasainya di bawah kendalian Carlo Ancelotti selepas berpindah ke AC Milan, yang mana sepakan percuma menakjubkan Pirlo menjadi bualan.

Bersama Rossoneri, Pirlo menang kejuaraan liga pada 2004 dan 2011 selain dua trofi Liga Juara-Juara pada 2003 dan 2007, selepas menjadi sebahagian pasukan Milan yang dikejutkan oleh Liverpool pada final 2005 di Istanbul sekalipun kelab Itali itu mendahului 3-0 pada rehat babak pertama.

Musim terakhir Pirlo di Milan, di bawah jurulatih semasanya di Juventus, Massimiliano Allegri, menyaksikan pemain tengah itu bermula hanya dalam 17 perlawanan. Dia meninggalkan kelab itu secara persetujuan bersama dan lebih menakjubkan ia secara percuma.

Beraksi di samping pemain Chile, Arturo Vidal dan Claudio Marchisio, Pirlo menyumbat tiga gol pada musim sulungnya bersama Juve namun statistik lain lebih membuktikan nilai sebenarnya.

Dia melakukan 13 ‘assist’ dan melengkapkan 2,643 hantaran dengan purata 87 peratus berjaya. Satu-satunya pemain di dunia yang melengkapkan lebih banyak hantaran berbanding Pirlo pada 2011-12 adalah Xavi.

“Dia seorang juara,” kata Pirlo mengenai pemain Sepanyol itu kelmarin. “Saya berpeluang bermain menentangnya beberapa kali. Di luar padang dia seorang lelaki yang hebat manakala di dalam padang, dia seorang juara hebat.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2015 @ 8:18 AM