Usia 15 tahun bukan penghalang buat pemain perseorangan wanita negara Goh Jin Wei melakukan kejutan di Sukan SEA 2015 Singapura yang juga kejohanan senior antarabangsa pertamanya.

Juara Sirkit Kebangsaan Terbuka Kuala Lumpur 2015 itu tidak sabar untuk beraksi bagi acara individu dan juga berpasukan wanita.

“Sebenarnya saya tidak jangka disenaraikan dalam skuad Sukan SEA tetapi sekarang rasa seperti diberikan penghormatan tinggi,” katanya.

Jelasnya, dia sangat teruja dan tidak sabar memperagakan aksi terutama berdepan pemain yang berada di ranking lebih tinggi dari Indonesia dan Thailand.

“Saya tidak berdepan sebarang tekanan, hanya mahu bermain sebaik mungkin dan melakukan kejutan di Singapura.

“Dalam masa sama ia boleh mengukur keupayaan saya di Asia Tenggara,” kata pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

Selain Jin Wei, pemain perseorangan wanita lain yang turut beraksi di temasya berkenaan ialah Tee Jing Yi, Lim Yin Fun dan Ho Yen Mei.

Acara berpasukan dijadual berlangsung 10 hingga 12 Jun diikuti acara individu dari 13 hingga 16 Jun.

Kali terakhir Malaysia memenangi emas acara perseorangan wanita pada 2003 di Vietnam melalui Datin Wong Mew Choo.

Dalam masa sama Jin Wei juga yakin Malaysia akan beraksi cemerlang untuk acara berpasukan walaupun hanya Jing Yi saja pemain senior dengan selebihnya berusia 21 tahun ke bawah.

Beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khew Wei, Amelia Alicia Anscelly, Soong Fie Cho, Goh Liu Ying dan Lai Pei Jing melengkapkan skuad berpasukan wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2015 @ 8:54 AM