Tahap kecergasan masih lagi menghimpit pemain tengah Gary Steven Robbat (gambar) namun dia bersedia beraksi ke tahap maksimum untuk membantu skuad Bawah 23 (B-23) negara mengatasi Vietnam pada perlawanan kedua Kumpulan B Sukan SEA Singpura di Stadium Bishan, hari ini.

Selepas digantung perlawanan tiga bulan Januari lalu akibat pelanggaran kontrak, perlawanan pertama dengan Timor Leste, Sabtu lalu, tempoh paling lama Gary berada di atas padang bagi aksi kompetitif tahun ini.

Biarpun hanya beraksi 70 minit sebelum digantikan dengan Saiful Ridzuwan Selamat, sumbangan pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT) itu cukup penting buat pasukan ketika menewaskan Timor Leste 1-0 dengan 10 pemain.

“Ini kali pertama saya beraksi 70 minit dalam perlawanan kompetitif tahun ini. Saya pernah bermain dalam perlawanan persahabatan sebelum ini tapi tidak sampai 70 minit.

“Saya memang nak main sepenuh masa, saya akan cuba mempertingkatkan tahap kecergasan dan permainan lebih baik. Memang sukar sebab sudah enam bulan tak main sepenuh masa,” katanya selepas perlawanan semalam.

Gary menjadi watak penting penguasaan bola Malaysia ketika bertahan dan menyerang namun bertemu Vietnam, gandingannya di bahagian tengah Muhammad Nazmi Faiz Mansor tidak beraksi kerana digantung perlawanan.

Ini menyaksikan tugas Gary lebih mencabar bertemu Vietnam yang tampil antara pasukan pilihan bersama Thailand dalam Kumpulan B.

Ketiadaan Nazmi, bekas pemain Harimau Muda A itu mungkin menyebabkan Gary bergandingan dengan Muhammad Ariff Farhan Md Isa atau Ridzuwan.

“Masa Nazmi ada, kami beraksi dengan yakin. Tapi selepas dia keluar susah sikit sebab kami terpaksa menukar corak permainan kepada bertahan.

“Vietnam memang lawan sukar, kita kena lawan habis-habisan kali ini. Kita pernah lawan mereka sebelum ini dan tahu kekuatan dan kelemahan mereka,” kata Gary yang bersama Harimau Malaya menewaskan Vietnam pada separuh akhir Piala AFF 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2015 @ 8:44 AM