“Apa saja berlaku, kami akan hadapinya bersama. Kami seperti satu keluarga,” kata pemain sayap D Saarvindran mengenai tindakan rakan sepasukannya Muhammad Nazmi Faiz Mansor yang dibuang padang ketika menentang Timor Leste pada perlawanan pertama Kumpulan B Sukan SEA Singapura kelmarin.

Ramai pihak mengecam kelakuan Nazmi yang bertindak meludah pemain pertahanan Timor Leste Filipe Oliveira hingga memaksa skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu bergelut dengan 10 pemain sepanjang lebih 60 minit bagi mencatat kemenangan tipis 1-0 dalam aksi di Stadium Bishan.

Saarvindran, 23, yang menjaringkan gol kemenangan itu berkata, situasi sukar itu boleh terjadi dalam mana-mana perlawanan.

“Beraksi dengan 10 pemain memang boleh berlaku dalam mana-mana perlawanan, kami kena terima sebagai satu pasukan.

“Cuma saya harap perkara seperti ini tidak berlaku lagi kerana saingan masih jauh,” katanya ketika ditemui semalam.

Bekas pemain Harimau Muda A yang kini beraksi dengan Pahang itu mengakui mereka mampu mencatat kemenangan lebih selesa jika bermain dengan 11 pemain.

“Kita boleh buat lebih baik tapi disebabkan kekurangan pemain, tidak boleh terlalu menyerang. Saya percaya kita boleh perbaikinya pada perlawanan seterusnya,” kata Saarvindran.

Ini aksi 90 minit pertama Saarvindran dalam perlawanan kompetitif selepas berehat 11 bulan akibat kecederaan buku lali.

“Tahap kecergasan belum berada di tahap terbaik, tapi ini permulaan baik buat saya,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 7:36 AM