Oleh Aziman Rosdi

Kelana Jaya: Pengalaman pemain tengah Gary Steven Robbat bakal menjadi sandaran skuad bawah 23 tahun negara (B-23) ketika berdepan halangan mencabar untuk melepasi pusingan awal Sukan SEA Singapura hujung bulan ini.

Walaupun membuat penampilan pertama pada temasya sukan itu, Gary, 22, tetap diharapkan menjadi antara tonggak skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee selepas membuktikan kemampuannya di pentas antarabangsa dengan membantu Harimau Malaya muncul naib juara Piala AFF 2014.

Melihat kedudukan Malaysia yang diundi bersama Thailand, Vietnam, Laos, Brunei dan Timor Leste dalam Kumpulan B, pemain kelahiran Kedah itu mengaku mereka perlu memberikan aksi terbaik untuk mara ke separuh akhir.

“Memang sukar sebab dalam kumpulan ini ada juara bertahan Thailand dan Vietnam tapi saya harap semua pemain dapat melakukan sesuatu apabila bertemu Thailand. Kita sudah tahu sedikit sebanyak kemampuan Thailand kerana ramai pemain mereka bermain dalam Piala AFF sebelum ini.

“Kita tiada pilihan selain berusaha dan memberikan persembahan terbaik apabila menentang Thailand dan Vietnam kerana pasukan ini pencabar utama kita,” kata pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT) itu.

Gary yang digantung tiga bulan akibat kesalahan menandatangani kontrak dengan dua pasukan, Johor DT dan Pahang bagaimanapun sempat menimba pengalaman berlatih dengan kelab Bundesliga, Borussia Dortmund sebelum pulang menyertai kelab Harimau Selatan itu.

Tapi dia tetap bimbang dengan tahap kecergasannya apabila hanya sekali membuat penampilan dengan Johor DT sejak bebas daripada penggantungan.

“Saya belum mencapai tahap kecergasan untuk bermain dalam perlawanan kerana hanya beraksi menentang LionsXII selama 30 minit. Banyak yang perlu saya lakukan untuk memperbaiki kelemahan ini.

“Ini akan menjadi Sukan SEA terakhir dan saya mahu meninggalkan kenangan manis buat jurulatih dan Malaysia,” katanya yang terlepas dua aksi Sukan SEA Jakarta (2011) dan Myanmar 2013 akibat kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2015 @ 9:16 AM