Milan: Roma kembali menyambung tugasan domestik dengan disulami rasa berat hati kerana kunjungan sukar ke Genoa bakal menyaksikan kelebihan pendahulu Juventus yang beraksi di gelanggang sendiri menentang Sampdoria dalam kancah Serie A, mungkin dilebarkan kepada enam mata.

Harapan Roma untuk menamatkan penantian empat tahun bagi menyertai kelompok 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara berakhir selepas tewas 2-0 di tangan Manchester City di Stadio Olimpico.

Anak buah Rudi Garcia menamatkan cabaran di tempat ketiga Kumpulan A untuk berada dalam 32 pasukan terakhir Liga Eropah, tetapi dalam usaha mereka untuk meraih scudetto pertama sejak 2011, kunjungan ke Genoa itu dianggap tidak kena masanya.

Selepas menewaskan Juventus dan Milan di gelanggang sendiri, Genoa tanpa diduga kini berada di tempat ketiga di atas Napoli, Milan dan Inter.

Garcia kini sudah memikirkan mengenai kempen musim depan di Eropah dan mengakui: “Bagi memastikan kami layak ke Liga Juara-Juara, kami perlukan musim yang hebat dan ia bermula dengan perlawanan Ahad ini (esok) menentang Genoa.

“Liga Eropah saingan sengit dan kami akan cuba sedaya upaya melakukan yang terbaik, tapi objektif utama kami tetap Serie A.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Disember 2014 @ 5:07 AM