MILITAN Syiah dari Briged Hizbullah menembak anggota IS di Husayah berhampiran Ramadi dalam pertempuran, semalam.
MILITAN Syiah dari Briged Hizbullah menembak anggota IS di Husayah berhampiran Ramadi dalam pertempuran, semalam.
Reuters

Baghdad: Kerajaan Iraq menggali semula 470 mayat yang dipercayai mangsa pembunuhan kumpulan militan berhampiran Tikrit tahun lalu, dalam peristiwa yang dikenali sebagai pembunuhan beramai-ramai Speicher.

“Kami sudah menggali semula 470 mayat mangsa pembunuhan Speicher di beberapa tapak perkuburan di Tikrit,” kata Menteri Kesihatan Aidla Hammoud pada sidang akhbar di Baghdad, semalam. .

Pada Jun 2014, kumpulan bersenjata yang menganggotai atau bersekutu dengan Negara Islam (IS) menculik ratusan golongan muda, kebanyakannya rekrut Syiah dari kem Speicher, di pinggir luar bandar Tikrit.

Mereka dibawa ke beberapa lokasi dan dibunuh satu persatu, seperti dalam gambar dan rakaman video yang tersebar.

Sebahagiannya ditolak ke dalam Sungai Tigris dan ada yang ditanam hidup-hidup di lokasi yang ditemui kerajaan dan tentera bersekutu yang menawan semula Tikrit daripada militan, dua bulan lalu.

Anggaran tertinggi jumlah mereka yang dibunuh dalam keganasan terburuk pernah dilakukan IS kekal pada 1,700.

“Semua mayat itu digali dari empat tapak perkuburan berasingan.

Satu daripadamua. yang paling besar berbanding yang lain, mengandungi 400 mayat,” kata ketua doktor rumah mayat utama di Baghdad, Ziad Ali Abbas.

Katanya, pemeriksaan forensik dijalankan ke atas mayat itu dengan bantuan pakar asing, termasuk Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa.

Ratusan keluarga yang anak lelaki, suami dan saudara lelaki mereka hilang ketika serangan yang diketuai IS di Iraq masih menanti hasil pemeriksaan itu.

Menurut pegawai di sidang akhbar semalam, senarai pertama nama mayat yang digali semula itu akan dikeluarkan minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 12:39 PM