TANAH terbiar yang berbatu di sebahagian besar Pulau Jeju diubah menjadi menjadi ladang teh hijau bebas racun dan haiwan perosak.
TANAH terbiar yang berbatu di sebahagian besar Pulau Jeju diubah menjadi menjadi ladang teh hijau bebas racun dan haiwan perosak.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Semerbak haruman teh hijau menangkap deria hidung yang secara harafiahnya menjadi tema sepanjang lawatan ini berlangsung.

Lensa kamera pula tanpa henti merakam keindahan ladang teh hijau yang terhampar luas di Seogwang, Pulau Jeju, yang memperlihatkan suburnya tanah gunung berapi di kawasan itu.

Ada komen di laman sosial yang skeptikal, “Tiada beza pun antara teh hijau dan teh biasa. Tengok saja teh biasa di Malaysia” tetapi bagi penulis, aroma serta suhu sekeliling yang dingin membuatkan ladang teh hijau berbeza daripada biasa.

Menariknya, ladang teh hijau di Seogwang itu bukan semata-mata dipasarkan sebagai komoditi makanan dan minuman, malah bertindak sebagai penyumbang utama dalam rangkaian produk penjagaan kulit wajah Innisfree.

Tanah terbiar yang berbatu di sebahagian besar Pulau Jeju itu diubah menjadi menjadi ladang teh hijau yang bebas racun dan haiwan perosak.

Terletak bersebelahan dengan kompleks R&D (penyelidikan dan pembangunan) AMOREPACIFIC, teh hijau ini dikaji secara menyeluruh bagi mengoptimumkan khasiatnya pada tubuh.

“Dulu teh hijau cuma dilihat sebagai minuman kesihatan. Baik untuk kesejahteraan tubuh kerana faktor antioksidan yang tinggi.

“Tetapi perkembangan teknologi kecantikan menyaksikan teh hijau mula menjadi antara bahan utama dalam produk kecantikan khususnya penjagaan wajah kerana kandungan catechin yang membantu mencegah kerosakan sel,” jelas Sejin Yoo, seorang daripada penyelidik kanan di kompleks itu.

Setiap bahagian pada teh hijau itu dikaji dan keba­nyakannya digunakan untuk himpunan produk Green Tea Line di Innisfree.

Innisfree adalah sebahagian daripada AMOREPACIFIC yang turut menaungi label kosmetik terkenal Korea Selatan seperti Laneige dan Etude House.

Epigallocatechin Gallate atau EGCG adalah sejenis polifenol yang diekstrak daripada teh hijau lalu dikenal pasti sebagai antioksidan berkuasa terhadap radikal bebas.

Radikal bebas ini pula ialah molekul tidak stabil yang boleh merosakkan sel sihat hingga menjadi satu daripada punca kanser.

Menurut kertas kajian yang diterbitkan dalam Biokimia Farmakologi pada 2011, EGCG terbukti menghalang pertumbuhan tumor dalam pelbagai kajian tabung uji yang membabitkan kanser perut, paru-paru, hati, payudara dan usus besar.

“Justeru jika ia baik untuk tubuh, mengapa tidak pada kulit? Kajian demi kajian selama lebih sedekad mendapati EGCG pada teh hijau membantu mengurangkan selaran UV, sekali gus memperbaiki struktur kulit tanpa kesan sampingan,” tambahnya.

Rangkaian penjagaan wajah teh hijau Innisfree menggunakan 100 peratus esen teh hijau yang kaya dengan asid amino dan mineral bagi membantu lembapan kulit secara berterusan.

Teknologi Dual Moisture-Rising yang direka di kompleks R&D itu membuatkan rangkaian penjagaan wajah ini khususnya serum dalam rangkaian Green Tea Seed Line - mempunyai peningkatan lima kali kuasa lembapan dan mengurangkan sel kulit mati sehingga 76 peratus.

Rangkaian teh hijau ini hadir dalam tiga jenis bagi menepati setiap keperluan kulit. Himpunan Green Tea Fresh Line khusus untuk kulit berminyak, Green Tea Balancing Line bagi kulit kombinasi dan kulit kering boleh diatasi dengan produk Green Tea Moisture Line.

Green Tea Seed Line pula memberikan lembapan ekstra menerusi peng­gunaan benih teh hijau segar.

Sebanyak 152 benih teh hijau pada setiap botol serumnya sementara keseluruhan rangkaian Green Tea Seed itu menggunakan kaedah penghasilan perahan maksimum.

Sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia pada Jun ini, pek jumbo edisi terhad diperkenalkan. Masih mengekalkan khasiat dan kebaikan teh hijau yang sama, pek jumbo ini hadir dalam kandu­ngan 160ml bagi serum dan 100ml untuk krim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 12:38 PM