Oleh Isma Ismail

Kulaijaya: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai sudah mendakwa 35 individu di mahkamah kerana membuat laporan polis palsu sejak Januari hingga Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Ruslan Khalid berkata, dua lagi individu juga akan didakwa kerana kesalahan yang sama pada minggu depan.

Menurutnya, pihaknya pandang serius terhadap tindakan sesetengah individu tidak bertanggungjawab itu.

Katanya, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang berbuat demikian.

"Siasatan mendapati antara sebab mereka berbuat demikian kerana kehilangan dokumen pengenalan diri, mahu membuat tuntutan insurans dan juga salahguna wang syarikat.

"Ada individu yang didakwa di mahkamah sebelum ini dikenakan hukuman denda sehingga RM1,500 mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan," katanya selepas hadir di Perhimpunan Bulanan IPD Kulai di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 September 2014 @ 11:18 AM