Ismail  (berdiri tengah) menyaksikan Mohd Rofik (kiri) dan Shaharuddin  (kanan) menandatangani MoU kad Subsidi pada majlis perasmian mesyuarat agung tahunan Kali ke-4 di Dewan Raya Putra Bandar Putra di Kulaijaya, hari ini. FOTO Redzuan Muharam

Oleh Redzuan Muharam

Kulaijaya: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mengisytiharkan Iskandar Puteri sebagai nama baru bagi pusat pentadbiran negeri di Nusajaya.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Ismail Karim berkata, Sultan Johor turut memberi perkenan untuk menukarkan nama bagi dua kawasan lain di Johor iaitu Tangkak bagi menggantikan daerah Ledang dan Kulai bagi Kulaijaya.

Beliau berkata, kerajaan negeri sudah meluluskan pertukaran nama itu dan kini dalam proses untuk mewartakannya dan dijangka berkuatkuasa Januari tahun depan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia Kali Ke-4 di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai Ali Mazat Salleh, Presiden Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia Mohd Rofik Mohd Yusoff dan Pengurus Besar Kanan Petronas Dagangan Malaysia Berhad Shaharuddin Muhammad Sidek.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 2:12 PM