GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching : Helah seorang lelaki untuk mengelak perbuatannya menggunakan wang milik majikannya terbongkar, apabila penipuannya itu dikesan polis selepas dia membuat laporan palsu di Balai Polis Gita, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 23 tahun yang memaklumkan dia disamun ketika berada di stesen bas di Jalan Bako, di sini.

"Menurut suspek, dia disamun dua lelaki bermotosikal ketika berada di stesen bas itu pada jam 10 pagi.

"Bertindak atas laporan itu, polis melakukan siasatan terhadap lelaki berkenaan dan mendapati dia hanya mereka-reka cerita," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahsmon berkata, suspek berbuat demikian kerana dia sudah menggunakan wang tunai milik majikannya itu sebanyak RM1,940 untuk kegunaan peribadi.

"Suspek membuat laporan palsu mengatakan disamun kerana tidak dapat membayar balik wang itu kepada majikannya," katanya.

Menurutnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 182, Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

"Polis mengingatkan orang ramai agar tidak membuat laporan palsu kerana ia boleh memberi gambaran negatif terhadap keadaan jenayah di daerah Kuching.

"Polis tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap individu yang melakukan perbuatan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 6:33 PM