MANGSA mencuci mukanya menggunakan air selepas disimbah cecair dipercayai asid. FOTO  ihsan Polis
MANGSA mencuci mukanya menggunakan air selepas disimbah cecair dipercayai asid. FOTO ihsan Polis
Oleh Norul Awatif Romli


Alor Setar: Anggota Pertubuhan Unit Kawalan Keselamatan (UKK) Kota Setar cedera di mata dan muka dipercayai akibat disimbah asid ketika cuba menangkap tiga penjenayah yang cuba memecah masuk kedai kosong di Jalan Sungai Korok di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, mangsa berusia lingkungan 50-an dipercayai disimbah asid oleh suspek lelaki yang tiba-tiba keluar dari pintu belakang premis berkenaan ketika cuba mahu melarikan diri.

Mangsa yang terkejut kemudiannya cuba menahan suspek, namun tidak menyangka tindakannya itu menyebabkan suspek bertindak agresif dengan menyimbah cecair di tangannya dipercayai asid.

Difahamkan, mangsa mengalami kecederaan parah di mata dan muka dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi rawatan lanjut.

Menurut pemilik premis yang enggan dikenali, dia diberitahu rakannya bahawa kedai tiga tingkat miliknya dipercayai dipecah masuk kira-kira sejam sebelum kejadian.

"Bimbang sangkaan saya ini benar saya kemudian memaklumkan perkara ini kepada pihak UKK untuk pemeriksaan.

"Bagaimanapun, saya terkejut apabila diberitahu anggota UKK cedera ketika cuba menahan tiga penjenayah itu," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, dia tidak menolak kemungkinan ketia-tiga penjenayah terbabit cuba memecah masuk kedainya untuk mencuri pendingin hawa kerana tiada barangan berharga lain.

Bagaimanapun, ketiga-tiga suspek termasuk wanita berusia antara 30-an hingga 50-an ditahan oleh kira-kira 40 anggota UKK yang turut berada di lokasi kejadian bagi mengepung kawasan berkenaan sebelum kehadiran polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 11:56 PM