LANGKAH pengurangan fi dijangka menggalakkan e-pembayaran.
LANGKAH pengurangan fi dijangka menggalakkan e-pembayaran.
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Malaysian Electronic Payment System Sdn Bhd (MEPS), penyedia rangkaian antara bank di Malaysia menetapkan fi perkhidmatan Permindahan Dana Antara Bank (IBFT) masa nyata pada 50 sen, pengurangan 50 peratus hingga 88 peratus daripada jumlah fi semasa antara RM1 hingga RM4.

Siling fi baru itu akan diguna pakai bagi semua transaksi di mesin pengeluaran automatik (ATM), Internet dan saluran perbankan mudah alih dan dilaksanakan oleh semua bank yang menyertai perkhidmatan MEPS berkuat kuasa 1 Jun ini.

Pengarah Urusan Kumpulannya Zulkanain Kassim berkata, had pindahan turut dinaikkan kepada RM10,000 pada 30 Jun ini berbanding RM5,000 ketika ini dan bakal dinaikkan lagi kepada RM30,000 pada awal tahun depan.

“Pengumuman ini adalah berita baik bukan saja kepada orang ramai, malah kepada perniagaan di mana pelanggan runcit, komersial dan korporat termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bakal mendapat manfaat besar daripada pengurangan fi dan kenaikan had pindahan itu,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Inisiatif ini adalah insentif kepada orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan pemindahan dana yang selamat, mudah dan tepat masa di mana ia juga boleh didapati melalui ATM serta bakal memenuhi keperluan individu yang belum mengguna pakai perkhidmatan perbankan online.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Muhammad Ibrahim berkata, industri pembayaran mula mencatatkan lonjakan signifikan melalui pelaksanaan pengurangan fi IBFT dan penyelarasan siling fi MEPS.

Menurutnya, BNM menyambut baik inisiatif proaktif daripada institusi kewangan dan organisasi seperti MEPS dalam memacu peralihan kepada pembayaran elektronik (e-pembayaran).

“BNM menyasarkan peningkatan jumlah transaksi e-pembayaran per kapita daripada 72 kepada 200 dan mengurangkan cek daripada 177 juta kepada 100 juta setahun,” katanya.

IBFT adalah perkhidmatan e-pembayaran yang membolehkan pelanggan untuk melaksanakan pemindahan dana antara bank dengan cepat dan selamat dengan butiran penerima akan dipaparkan untuk pengesahan pengirim dan urusan terbabit akan selesai dengan kadar segera.

Ia turut merangkumi pembayaran kad kredit dan pembayaran balik pinjaman atau pembiayaan di mana pelanggan tidak perlu lagi bimbang mengenai salah pengkreditan, mengeluarkan cek, menggunakan mesin deposit tunai dan terlepas tarikh akhir pembayaran.

IBFT menunjukkan sokongan kukuh kepada aspirasi BNM untuk meningkatkan penggunaan e-pembayaran di negara ini di samping mengalakkan penerimaan lebih luas dan pengunaan perkhidmatan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2015 @ 6:55 AM