Kuala Lumpur: Malaysian Electronic Payment System Sdn Bhd (MEPS) menawarkan caj percuma bagi urus niaga di Internet dan perbankan mudah alih saluran MEPS untuk perkhidmatan pemindahan dana antara bank (IBFT).

Pengarah Urusan Kumpulannya, Zulkanain Kassim berkata, yuran percuma itu berkuat kuasa di semua bank yang mengambil bahagian dengan MEPS bermula dari 1 Oktober hingga 31 Disember 2015.

Beliau berkata, caj bayaran bagi perkhidmatan pemindahan wang segera di mesin juruwang automatik (ATM) kekal sebanyak 50 sen.

“Sebanyak 15 bank menawarkan perkhidmatan IBFT melalui perbankan Internet mereka iaitu Agrobank, Affin Bank, Alliance Bank, Bank Islam, Bank Muamalat, Bank Rakyat, CIMB Bank, Citibank, Hong Leong Bank, Kuwait Finance House, Maybank, OCBC Bank, Public Bank, RHB Bank dan Standard Chartered Bank.

“Enam bank yang menawarkan perkhidmatan IBFT melalui Perbankan Mudah Alih adalah Bank Islam, CIMB Bank, Citibank, OCBC Bank, Public Bank dan Standard Chartered Bank,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Sementara itu, katanya, inisiatif berkenaan menunjukkan sokongan penuh bank dan MEPS untuk penggunaan e-pembayaran.

“Tawaran ini juga untuk menggalak serta mempercepatkan kadar langganan bagi perkhidmatan pemindahan dana dan bank yang menawarkan urus niaga pemindahan segera secara percuma sehingga akhir tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2015 @ 6:04 AM