Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Industri perbankan disarankan mengambil langkah efektif bagi mengurangkan penggunaan tunai dan cek dalam transaksi harian berikutan kos pengurusannya yang mencecah sehingga RM2.4 bilion setiap tahun.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Muhammad Ibrahim berkata, pada tahun lalu saja, jumlah transaksi tunai dan cek dicatatkan sebanyak 101 juta dengan penurunan tahunan dianggarkan kepada 15 peratus.

“Pelaksanaan langkah ini dijangka menyumbang kepada kecekapan pengurusan dan mengurangkan kos operasi perbankan,” katanya ketika berucap dalam pameran dan forum e-bayaran 2015 di Kuala Lumpur, semalam.

Forum yang dianjurkan BNM dengan kerjasama Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia dan Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) itu dihadiri 400 peserta terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan wakil sektor perbankan.

Menurutnya, sejak pelaksanaan rangka kerja pembaharuan harga pada 2013 dan Dana Insentif e-pembayaran (ePIF) pada Januari 2015, penggunaan cek hanya menurun pada kadar dua peratus bagi tempoh 2011 hingga 2013 manakala, penurunan sebanyak 10 peratus pada 2014.

“Bagaimanapun, sembilan bulan pertama tahun ini jumlah itu turun sebanyak 16 peratus,” katanya.

Muhammad berkata, jumlah cek yang dijelaskan juga dijangka berkurangan daripada 207 juta pada 2010 kepada 149 juta menjelang akhir 2015.

“Jika penurunan ini dapat dikekalkan, sasaran untuk mengurangkan cek kepada 100 juta setahun menjelang 2020 dapat dicapai.

“Pengurangan itu dapat menjimatkan RM300 juta minimum tanpa mengambil kira penjimatan lain dari segi kecekapan dan keselamatan,” katanya.

Dalam usaha untuk menggalakkan penggunaan e-pembayaran, Muhammad berkata, sebanyak RM455 juta dana diperuntukkan untuk membangunkan terminal tambahan pembayaran kad bagi meluaskan rangkaian terminal pada masa akan datang.

“Strategi ini akan membolehkan industri mencapai sehingga 25 terminal bagi setiap 1,000 penduduk menjelang 2020,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2015 @ 7:37 AM