PASUKAN hoki  memenangi emas selepas menundukkan  Myanmar di Sukan SEA 2017.
PASUKAN hoki memenangi emas selepas menundukkan Myanmar di Sukan SEA 2017.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Skuad hoki negara tidak semestinya akan membariskan pemain pada temasya akan datang sebagaimana dilakukan untuk Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur (KL2017).

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Seri Subahan Kamal berkata, Malaysia membariskan pasukan hoki padang terbaik untuk lelaki dan wanita kerana perlu memastikan mampu menghadirkan pingat emas apabila beraksi di halaman sendiri.

Selain itu katanya, skuad lelaki dan wanita negara juga mempunyai misi yang lebih besar pada masa depan dan sehubungan itu, momentum setiap pemain perlu dikekalkan.

“Bagi saya, bila melakukan sesuatu perkara itu perlu ada perancangan teliti. Kita sedang menuju ke kejohanan besar seperti Sukan Asia 2018.

“Kadang-kala pemain berada di bawah prestasi sebenar selepas melalui sesi latihan yang kerap. Sebab itu kita mahukan setiap pemain mengekalkan prestasi terbaik mereka dengan beraksi di Sukan SEA.

“Sebagai tuan rumah, kita juga perlu pastikan pemain mampu memenangi emas sebab kita juga mempunyai misi untuk membantu negara,” katanya.

Skuad negara terutama pasukan lelaki dilihat terlalu unggul apabila menjaringkan 39 gol sepanjang saingan Sukan SEA dan hanya bolos dua gol.

Mereka adalah skuad yang hampir sama beraksi di saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London, Jun lalu yang menyaksikan skuad negara layak secara automatik beraksi di Piala Dunia 2018 Bhubaneswar, India.

Untuk skuad wanita pula, mereka hanya menerima tentangan sengit daripada Thailand pada aksi final yang menyaksikan pasukan bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menang 2-0, sekali gus merangkul emas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 7:57 AM