Kuala Lumpur: Tiada wakil Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan menemani pemain yang dikaitkan positif ujian air kencing Sampel A di Kejohanan Dunia, Ogos lalu, untuk menyaksikan ujian Sampel B di Oslo, Norway, 5 November ini.

Pengurus Besar BAM Kenny Goh berkata, tiada keperluan untuk badan induk itu menghantar wakil bagi menemani pemain berkenaan kerana wakil sedia ada sememangnya sudah pakar dalam hal itu.

Selain pemain itu yang bersetuju untuk ke Norway, dua lagi wakil negara yang akan menemaninya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz serta Ketua Unit Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas) Nishel Kumar.

“Buat masa ini kami rasa memadai dengan wakil sedia ada kerana mereka ini pakar dalam bidang itu,” kata Kenny ketika ditemui semalam.

Arena Metro sebelum ini melaporkan pemain yang dikaitkan itu ialah pemain perseorangan utama negara Datuk Lee Chong Wei.

Dia dikatakan mengambil bahan terlarang dexamethasone yang biasanya digunakan dalam rawatan pemulihan.

Bagaimanapun, hingga sekarang BAM enggan menamakan secara rasmi pemain itu hingga keputusan Sampel B diketahui.

Sementara itu, kelibat Chong Wei tiada pada sesi latihan semalam dengan Kenny mengesahkan pemain nombor satu dunia itu sudah mendapat persetujuan daripada jurulatih untuk bercuti dua minggu.

“Dia sudah melalui banyak kejohanan besar, jadi memang perlu berehat. Kami harap selepas ini dia akan kembali cergas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:05 AM