Oleh Dang Setia

Berat badan saya naik 10 kilogram selepas berkahwin. Ini menyebabkan suami tidak lagi setia.

Dia menjadikan alasan saya tidak pandai menjaga penampilan serta layanan tidak cukup mesra membuatkan dia berkira-kira ingin mencari pasangan baru atau calon madu. Saya perasan perubahan suami lapan bulan lalu. Sedangkan ketika itu saya berpantang anak keempat.

Masa saya dalam pantang tiga anak kami sebelum ini, suami akan berkongsi tugas mencuci lampin, membuat susu dan kadangkala akan bermain dengan anak.

Tetapi kini suami seperti tidak endah malah seperti lupa saya serta anak. Sedangkan anak kami masih kecil perlukan semua perhatiannya.

Adakah itu menjadi kesalahan saya dan dianggap ketidakupayaan melaksanakan tugas sebagai isteri?

Sedangkan setiap kali dia pulang saya tidak pernah lupa tanggungjawab termasuk menguruskan rumah tangga selain melayan kehendaknya.

Namun, apabila dia menyatakan mahu kahwin lagi saya tidak boleh terima. Sedangkan ketika ini sudah terang dia mengabaikan saya dan anak. Saya tidak pasti apakah langkah terbaik. Pastinya hati saya berkecamuk dengan keadaan rumah tangga terutama suami.

MAMA, Kuala Lumpur

Terlebih dulu Dang Setia luahkan rasa simpati terhadap puan yang ketika ini berdepan dugaan cukup getir menempuh alam rumah tangga.

Perkahwinan sudah menginjak usia 10 tahun dipandang dingin suami hanya kerana hanyut dalam dugaan nafsu.

Bagi Dang Setia berbanding perasaan kecewa, rasa terkilan serta kesal lebih mendahului kerana suami puan yang dulunya seorang bertanggungjawab kini berubah laku hanya bersandarkan pada cinta baru.

Bagi Dang Setia, jangan terlalu awal untuk berputus asa dengan situasi ini. Sebaiknya puan perlu genggam kemas ‘hati’ suami agar dia sedar serta kembali kepada puan.

Mulakan dengan menasihati serta cuba memujuk suami untuk uruskan anak sebelum memutuskan menambah ‘cawangan’.

Katakan kepada suami cuba uruskan anak sendiri serta urusan rumah tangga seperti membantu membersihkan rumah serta menyiapkan keperluan anak seperti memasak dan menghantar ke sekolah.

Jika si dia masih punya waktu serta kemampuan termasuklah masa bersama puan, rasanya hak dituntut tidak dapat puan nafikan.

Tetapi berdasarkan keadaan sekarang yang suami jelas mengabaikan puan serta anak, Dang Setia tidak rasa itu membantu memulihkan perkahwinan.

Justeru cari waktu sesuai serta berbincang mengenai hala tuju hubungan rumah tangga puan serta suami sebaik-baiknya. Ingatkan suami mengenai firman Allah yang bermaksud: “Jika isteri-isteri kalian mentaati kalian maka janganlah kalian mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka.” (An-Nisa: 34)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2016 @ 12:26 AM