Oleh Dang Setia

Saya gadis berusia 29 tahun dan masih bujang. Saya mempunyai susuk badan besar. Pelbagai produk saya cuba untuk langsing tetapi tidak berhasil. Saya cemburu terhadap rakan yang boleh bergaya dan sering menjadi perhatian lelaki.

Saya kasihan dengan diri sendiri. KadangĀ­kala saya tertekan berdepan orang ramai kerana diri tidak cantik.

Bagaimana caranya untuk lebih yakin dengan penampilan diri dan berasa cantik di depan orang ramai?

CHA, Pulau Pinang

Tidak salah mempunyai hasrat untuk menjadi langsing tetapi perlu ada niat betul, dan bukan mengharapkan benda lain.

Dalam situasi ini saudari lebih mengharapkan perubahan untuk menarik perhatian lelaki dan bagi Dang Setia, ia tidak wajar.

Istilah Tabarruj iaitu wanita menunjukkan dan memperagakan perhiasan mahupun kecantikan untuk menarik perhatian lelaki jelas dilarang Islam.

Justeru harapnya saudari tidak cenderung tahap berkenaan yang hanya mendorong kepada kerosakan lebih teruk.

Asuh diri mensyukuri kelebihan diri. Berbanding bergaul dengan mereka yang nyata lebih sibuk menghiasi diri, pada Dang Setia, saudari perlu ubah angin dengan merapati golongan tidak bernasib baik.

Selain melakukan kerja amal, saudari dapat menilai situasi diri. Harapnya ia terapi baik dalam mendorong saudari mengasuh keyakinan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2015 @ 2:04 AM