Kuantan: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Pahang menyasarkan dua peratus jualan hartanah daripada RM1.1 billion nilai keseluruhannya sempena Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) 2015.

Ekspo itu diadakan selama tiga hari bermula 22 hingga 24 Mei ini di ruang legar pusat beli-belah Berjaya Megamall, di sini, membabitkan 24 pemaju selain institusi perbankan dan jabatan kerajaan berkaitan.

Pengerusi REHDA Pahang, Chua Say Chai berkata, sebanyak 2,858 unit hartanah jenis kediaman dan komersial ditawarkan dalam ekspo itu dengan nilai antara RM160,000 hingga RM3.8 juta seunit bergantung jenis dan lokasi hartanah terbabit.

“Sebanyak 99 kawasan projek ditawarkan dalam MAPEX kali ini dan 80 daripadanya dalam daerah ini selain di Terengganu dan Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat bersama peserta MAPEX 2015, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi MAPEX 2015, Cheoh Chee Guan.

“MAPEX menjadi platform untuk syarikat pemaju, pelabur dan pembeli menyampai dan mendapatkan maklumat mengenai projek hartanah selain peluang meninjau trend kediaman masa kini,” katanya.

Cheoh berkata, pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta kejatuhan nilai ringgit memberi kesan kepada industri hartanah berikutan kenaikan kos pembinaan termasuk buruh dan bahan mentah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2015 @ 5:05 AM