Pelakon ini tidaklah hebat mana dari segi lakonan. Namun, mungkin kerana rupa parasnya membuatkan dia menjadi popular termasuk satu demi satu drama dan filem lakonannya menjadi kegilaan ramai.

Apabila sudah popular pastinya ke mana saja kita pergi dan apa juga yang kita lakukan menjadi perhatian ramai.

Sudah menjadi perhatian ramai itu, pandai-pandailah bawa diri. Jangan kerana anda merasa diri popular boleh berbuat sesuka hati tanpa memikirkan bahawa peminatlah orang yang paling banyak menyokong kerjaya anda sehingga menjadi popular.

Baru-baru ini, teman SS meluahkan rasa tidak puas hati terhadap artis berkenaan.

Tanyanya kepada SS kenapa sikap artis itu semakin sombong?

Adakah memang dia begitu sejak mula terbabit dalam bidang seni?

SS katakan kepadanya, SS tidaklah kenal sangat dengan artis itu tetapi sejak dia popular memang ramai mengeluh mengenai perangai sombongnya itu.

Risik punya risik, rupa-rupanya ramai yang terkena dengan perangai sombong dan berlagaknya itu.

Malah, difahamkan dia sukar sekali hendak menjawab panggilan apabila hendak ditemu bual.

SS sendiri turut hilang hormat padanya ekoran sikapnya yang menganggap apabila berada di luar dia bukanlah artis.

Rasa lucu pula mengenangkan sikapnya itu. Berlagak mengalahkan diva. Kalau rasa privasi diri tidak mahu diganggu, jangan jadi artis.

Duduk saja di rumah diam-diam atau cari pekerjaan lain yang pastinya apa anda buat orang tidak akan peduli.

SS: Semakin ramai manusia yang lupa diri, akhirnya memakan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 8:08 AM