BESUT: Seorang wanita warga emas kerugian barangan kemas bernilai RM12,000 setelah disamun seorang lelaki ketika berada di rumah adiknya di Kampung Amer di sini, semalam.

Dalam kejadian 10.50 pagi itu, mangsa, 56, kerugian seutas rantai dan gelang tangan emas setelah disamun suspek yang berpura-pura bertanya tuan rumah tempat dia berada, sebelum melarikan diri dengan kereta Proton Waja berwarna kelabu.

Menurut laporan kepada polis, sebelum sempat menjawab, suspek menolak mangsa sehingga jatuh sebelum merentap seutas rantai emas serta gelang tangan milik mangsa dan melarikan diri dengan kereta yang dipandu seorang lagi suspek.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, DSP Noor Halim Nordin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Beliau berkata polis sedang giat memburu kedua-dua suspek terbabit. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 11:04 PM