Zatul Iffah Zolkiply


SUAMI isteri kerugian hampir RM30,000 apabila disamun dua lelaki bersenjatakan pisau dalam kejadian di Kampung Alor Lintang, Besut, pagi ini.

Kejadian dipercayai berlaku pada 5.35 pagi ketika suami yang juga pesara guru berusia 69 tahun itu, mahu menaiki kereta untuk menunaikan solat subuh di masjid berhampiran sebelum dihampiri dua lelaki bertopeng.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut Deputi Superintendan Kamsani Hassan berkata, suspek kemudian memegang dan mengikat tangan mangsa sebelum meninggalkan mangsa di tepi kereta lalu mengambil kunci rumah mangsa.

Beliau berkata, suspek masuk ke rumah mangsa dan mengikat tangan isteri mangsa berusia 70 tahun sebelum mencari barangan berharga yang ada di rumah pasangan warga emas itu.

"Dua suspek melarikan diri bersama barangan berharga milik mangsa seperti wang tunai, komputer riba, seutas gelang tangan emas dan dua telefon bimbit," katanya.

Kamsani berkata, pasangan berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan memaklumkan kejadian itu kepada anak lelaki mereka berusia 30 tahun.

Katanya, satu laporan dibuat anak lelaki mangsa di Balai Polis Kampung Raja untuk tindakan lanjut.

"Usaha mengesan suspek giat dijalankan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan menggunakan senjata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 5:45 PM