FROCH di penghujung karier?
FROCH di penghujung karier?
AKSI Froch di gelanggang.
AKSI Froch di gelanggang.
RACHAEL penyokong setia Froch.
RACHAEL penyokong setia Froch.
SELEPAS Rocco dan Natalia, pasangan itu menanti anak ketiga.
SELEPAS Rocco dan Natalia, pasangan itu menanti anak ketiga.

Setiap peninju mempunyai kelemahan, termasuk juara dunia empat kali, Carl Froch.

Dia mungkin mempunyai dagu sekeras granit dan tumbukan yang dianggap Barry McGuigan ‘mampu menumbangkan kuda’, tetapi Froch sebenarnya mempunyai kelemahan iaitu anak-anaknya.

Di rumah, peninju berkenaan seorang yang lembut hati, sering bergelut untuk tidak terlalu memanjakan anak lelakinya, Rocco, 4 dan Natalia, 2.

Dia kini menjadi seorang bapa buat kali ketiga dan ini mungkin menjadi penanda yang bakal menamatkan karier gemilangnya.

Dia melepaskan gelaran super-middleweight dunia WBA minggu lalu apabila tidak mempertahan gelaran itu tahun lalu, tiada sebarang perlawanan dijadualkan manakala promoternya, Eddie Hearn berkata minggu lalu bahawa peninju bergelar Cobra tidak akan beraksi di gelanggang lagi.

Froch mendedahkan isterinya, Rachael Cordingley kini hamil empat bulan dan membuatnya berfikir kembali akan risiko bakal diambil dalam setiap pertarungan.

Peninju kelahiran Nottingham itu berkata: “Saya benar-benar teruja untuk menjadi bapa lagi. Kehadiran anak perkara terbaik pernah saya alami dan bertuah kerana keluarga saya menjadi semakin besar.

“Namun ia membuat anda terfikir, adakah saya perlu kembali ke gelanggang dan mengambil risiko? Hakikatnya, anda menyara keluarga hasil tumbukan ke kepala anda.

“Sebelum ini saya tidak terfikir mengenai kecederaan tetapi kini saya bimbang apa akan berlaku jika saya tidak ada di sini untuk mereka.”

Mudah untuk memahami mengapa Froch asyik memikirkan ancaman kecederaan terhadapnya.

Tahun ini, Audley Harrison, juara super-heavyweight Olimpik pertama dari Britain, bersara selepas tumbukan di kepala menyebabkannya mengalami kecederaan otak, masalah penglihatan dan mood yang sentiasa berubah.

Rachael yang juga seorang model turut berkongsi kebimbangan pasangannya.

Dia sentiasa menjadi penyokong utama peninju berusia 37 tahun. Dalam setiap perlawanan, dia akan sentiasa melaungkan sokongan di tepi gelanggang.

Begitupun, keutamaannya berubah sebaik menjadi ibu. Dia hanya mahu Froch bersara.

Rachael, 27 baru-baru ini mengakui: “Sejak kami mempunyai anak, apa yang saya fikirkan setiap kali Carl melangkah ke gelanggang, saya mahu suami selamat. Saya lebih senang jika dia bersara.”

Tambah Froch: “Rachael tidak pernah memberitahu dia tidak mahu saya bertarung atau menyatakan ia terlalu berisiko. Namun saya tahu di sudut hatinya, dia mahu saya bersara.

“Dia melihat kepada anak-anak, memikirkan kecergasan saya dan masa depan kami sebagai sebuah keluarga.

“Saya perlu berbincang dengan Rachael sebelum menyarung kembali sarung tangan. Jika dia katakan kepada saya, ‘Saya tidak fikir anda patut bertarung lagi’, saya akan mempertimbangkannya dengan serius.

“Namun saya tidak fikir dia akan meletakkan saya dalam posisi itu kerana dia sedar betapa saya cintakan sukan ini.

“Saya tidak bimbang jika kecewa atau tertekan bila bersara seperti peninju lain. Saya tahu bila saya menggantung sarung tangan kerana banyak yang saya akan lakukan bersama keluarga.”

Froch tidak pernah menjejakkan kaki ke gelanggang sejak menewaskan George Groves di Stadium Wembley, Mei tahun lalu.

Sebaik Froch memutuskan untuk bersara, keutamaannya adalah menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga.

Dia sentiasa meluangkan masa dalam jadual latihannya untuk bersarapan dengan Rocco sebelum menghantarnya ke sekolah dan Natalia tidak pernah berenggang dengannya.

“Saya sentiasa meluangkan masa dengan anak, ia tidak boleh diganti dengan pertarungan. Natalia adalah bos di rumah. Dia membuat saya cair dan jika dia mahukan sesuatu, dia akan dapat.

“Saya agak tegas dengan anak lelaki saya, tetapi dia turut berkuasa di rumah.

“Saya membesar dalam keluarga yang susah dan jarang mendapat apa yang saya inginkan.

Saya cuba tegas dengan anak-anak. Saya mahu mereka belajar bekerja keras untuk mendapatkan apa yang diingini.

“Namun sukar untuk tidak memanjakan mereka. Sebelum mempunyai anak, mudah untuk mementingkan diri sendiri, pergi ke kem selama tiga bulan sebelum pertarungan dan tidak memikirkan mengenai rumah.

“Kini saya rindukan anak-anak. Bila saya pergi, saya bimbangkan mereka dan Rachael, bagaimana keadaan mereka.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 5:05 AM