TYSON Fury.
TYSON Fury.
AFP

London: Juara heavyweight dunia penuh kontroversi Tyson Fury menarik balik keputusannya untuk bersara kelmarin apabila menulis dalam Twitter: “Saya akan terus bertarung.”

“Hahahaha anda fikir anda akan mudah melupakan GYPSYKING!!! Saya ada di sini untuk terus bertarung.”

Dia menulis: “Sebaik saya semakin cergas, saya akan mempertahankan apa yang menjadi milik saya, kejuaraan heavyweight.”

Peninju Britain berusia 28 tahun yang celupar itu, terjejas dengan laporan dia gagal ujian dadah kerana kokain, sebelum ini mengumumkan dia “bersara”.

“Tinju perkara paling sedih saya pernah terbabit dalam hidup ini, semuanya mengarut,” tulisnya tiga jam terdahulu. “Saya yang paling agung dan saya juga bersara...”

Laporan penyiar televisyen AS ESPN minggu lalu mendakwa Fury diuji positif dengan kokain.

Peninju Britain itu baru-baru ini membatalkan pertarungan menentang Wladimir Klitschko bulan ini untuk mempertahankan tali pinggang heavyweight WBA dan WBO.

Ketika dihubungi, promoter Fury, Hennessy Sports, enggan membuat sebarang komen.

Fury dijadualkan meraih bayaran terbesar dalam kariernya pada perlawanan ulangan dengan Klitschko di Arena Manchester selepas mengejutkan peninju Ukraine itu untuk muncul juara dunia November lalu.

Bagaimanapun, Fury menarik diri daripada perlawananan itu dan kemnya mendakwa dia “disahkan tidak cergas untuk bertarung secara mental.”

Dalam satu lagi Twitter kelmarin, Fury berkata, dia “mendapat bantuan tepat” dan akan “kembali lebih bertenaga berbanding sebelum ini.”

EPSN melaporkan Fury diuji positif selepas memberi sampel ujian air kencing kepada Persatuan Anti-Doping Sukarela berpangkalan di Las Vegas. Dia mengambil ujian itu di Lancaster, England pada 22 September lalu.

Kokain, dadah yang diharamkan, tidak dilarang dalam tinju jika diambil di luar pertandingan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2016 @ 8:06 AM