FROCH dan Penelope.
FROCH dan Penelope.
RACHEL dan Froch berdepan detik mendebarkan kelahiran anak ketiga mereka.
RACHEL dan Froch berdepan detik mendebarkan kelahiran anak ketiga mereka.

Juara dunia tinju empat kali, Carl Froch memperkatakan mengenai kelahiran anak perempuannya yang penuh trauma dan mendedahkan bagaimana si kecil itu perlu berjuang untuk terus hidup.

Froch, digelar ‘The Cobra’ di gelanggang serta pasangannya Rachael Cordingley menyambut kelahiran anak perempuan mereka, Penelope 11 September lalu, namun dikesan mengalami penyakit serius beberapa jam selepas kelahirannya.

Peninju kelahiran Nottingham memberitahu majalah Hello!, kelahiran anak perempuannya itu menjadi semakin rumit apabila dikesan mengalami ‘shoulder dystocia’, di mana kepala bayi berkenaan keluar tetapi salah satu daripada bahunya tersangkut di belakang tulang pubik ibunya.

“Dia memang sesuai menjadi anak perempuan peninju kerana dia seorang pejuang. Dia bertarung untuk hidup pada hari dia dilahirkan,” kata Froch.

Peninju berusia 38 tahun yang mengumumkan persaraannya pada Julai selepas 14 bulan tidak beraksi susulan kekalahan kepada George Groves berkata, selepas Penelope dilahirkan, bayi berkenaan kelihatan tidak bermaya dan tidak cukup oksigen.

“Saya terkejut. Saya tidak boleh berkata-kata,” kata Froch.

“Sebagai seorang pejuang, saya tidak gentarkan cabaran tetapi kali ini saya dapat berbuat apa-apa, ia membuat saya tidak berdaya.

“Kepalanya keluar pada jam 5.59 pagi dan dia dilahirkan pada jam 6.02, sama panjangnya dengan pusingan tinju, paling lama dan paling trauma dalam hidup saya.

“Sebaik dia mula menangis, saya mula mengalirkan air mata. Bukan mudah untuk membuat saya tersentuh tetapi perkara ini paling meresahkan pernah saya alami.”

Sehari kemudian, mereka kembali ke hospital apabila Rachael mengadu sakit kepala dan membawa Penelope bersama.

Froch yang mungkin berminat kembali bertarung menentang Gennady Golovkin pada 2016 menurut promoternya Eddie Hearn, menjelaskan: “Seorang jururawat menyedari suhu badan Penelope agak tinggi dan agak keletihan.

“Dalam tempoh sejam, dia dimasukkan ke dalam inkubator, dipasang tiub dan diberikan antibiotik serta oksigen.

“Kami bukannya datang kerana Penelope tetapi dalam tempoh dua minggu berikutnya, saya berulang alik ke hospital dan mula bimbang sesuatu yang buruk akan berlaku.

Penelope, anak ketiga pasangan terbabit dikesan mengalami jangkitan kumpulan B streptococcus yang mampu membawa maut kepada bayi, dan disyaki mengalami meningitis.

Froch berkata, mereka tidak berputus asa tetapi bimbang dia mungkin berhadapan situasi tidak dapat membawa anaknya pulang dengan selamat.

“Emosi bagaikan rollercoaster, dua minggu paling buruk dalam kehidupan saya,” kata Froch.

Selepas 10 hari menerima rawatan antibiotik Penelope kembali pulih dan Rachael menggelarkan ‘bayi kecil ajaib’.

Kata Rachael kepada Hello!: Kadang kala saya terfikir sama ada kami akan keluar dari hospital. Ada bayi yang berada di sana berbulan lamanya, jadi kami bernasib baik.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 8:28 AM