Lawrence Okolie juara baru cruiserweight Organisasi Tinju Dunia. FOTO The Dailymail
Lawrence Okolie juara baru cruiserweight Organisasi Tinju Dunia. FOTO The Dailymail
AFP

London: Peninju Lawrence Okolie dari Britain muncul juara kelas cruiserweight Organisasi Tinju Dunia selepas menewaskan Krzysztof Glowacki dari Poland pada pusingan keenam knockout di Wembley Arena.

Kemenangan itu menyaksikan atlet berusia 28 tahun dari London itu menjadi peninju lelaki pertama daripada skuad Olimpik 2016 Britain merangkul gelaran profesional dunia dengan Okolie hingga kini mengekalkan rekod tanpa kalah sejak memilih beraksi secara profesional.

Lawan melancarkan serangan padu mengenai bahagian atas mata Okolie pada pusingan keempat sebelum tumbukan padu tangan kiri pada minit pertama pusingan keenam berselang dengan tumbukan kuat tangan kanan menyebabkan Glowacki tumbang.

Kekalahan peninju Poland itu sebelum ini dari 33 pertarungan profesional adalah kepada peninju berkelas dunia Oleksandr Usyk dan Mairis Briedis.

Namun Okolie masih berjaya mencatatkan kemenangan kalah mati yang ke-13 dari 16 perlawanan profesionalnya.

Dia kemudiannya menghadiahkan kemenangan itu kepada jurulatih, Shane McGuigan, anak kepada bekas juara dunia featherweight, Barry McGuigan.

"Ini gila. Saya gembira dan bertuah. Ini adalah kenyataan.

"Saya mempunyai keyakinan sepanjang minggu dan sangat tenang.

"Shane mengingatkan saya untuk tidak terburu-buru dan ia berlangsung seperti yang diinginkan. Saya katakan saya dapat menyelesaikan pertembungan ini antara pusingan kelima hingga kelapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 2:12 PM