Siqueira (tengah) ledak gol pertama bersama Atletico.
Siqueira (tengah) ledak gol pertama bersama Atletico.

Madrid: Atletico Madrid meraih tempat ke Liga Juara-Juara musim depan sekalipun hanya seri 2-2 dengan Levante kelmarin selepas Sevilla diikat Celta Vigo 1-1.

Satu mata bagi kedua-dua pasukan bermakna Atletico mendahului juara Liga Europa itu tujuh mata dengan baki dua perlawanan.

Atletico kini memerlukan tiga mata daripada baki dua perlawanan di laman sendiri menentang Barcelona dan Granada di gelanggang lawan bagi menjamin tangga ketiga di depan Valencia dan mengelak daripada peringkat kelayakan Ogos ini.

Levante mendahului selepas setengah jam apabila kesilapan pertahanan Miranda membolehkan Barral menyumbat masuk hantaran leret Ivan Lopez bagi gol peribadi ke-13 musim ini.

Atletico bangkit dan pertahanan kiri Siqueira merembat masuk gol pertamanya buat kelab itu sejak berpindah dari Benfica pada musim panas lalu hasil hantaran lintang Tiago.

Uche kembali meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-62 sebelum Fernando Torres yang menggantikan Mario Mandzukic menyelamatkan maruah Atletico menerusi tandukan kencang susulan sepakan sudut Koke pada minit ke-79. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 8:11 AM