PEMAIN tengah Barca, Sergio Busquets (tengah) ketika menyepak bola. FOTO/AFP
PEMAIN tengah Barca, Sergio Busquets (tengah) ketika menyepak bola. FOTO/AFP
Reuters

VALENCIA, Sepanyol: Harapan Barcelona melengkapkan musim La Liga tanpa kalah berkubur awal pagi tadi apabila pasukan juara itu mengalami kekalahan mengejut 4-5 di Levante pada perlawanan ke-37 dan kedua terakhir mereka selepas merehatkan pemain bintang, Lionel Messi.

Levante mendahului 5-1 menentang juara berganda itu selepas 56 minit menerusi hatrik penyerang Ghana, Emmanuel Boateng dan dua gol sumbangan pemain kebangsaan Macedonia, Enis Bardhi.

Bagaimanapun Philippe Coutinho turut melengkapkan hatrik dan Luis Suarez menyempurnakan sepakan penalti ketika Barca bangkit untuk cuba menyelamatkan keadaan pada saat-saat akhir.

Di sebalik hampir menjaringkan gol penyamaan lewat permainan, mereka gagal dalam usaha muncul pasukan pertama sejak Real Madrid pada musim 1931-32 dan kali pertama sejak liga dikembangkan daripada 10 pasukan, untuk mencatat kejayaan liga tanpa sebarang kekalahan.

“Saya berasa amat marah tapi saya perlu memandang ke depan kerana apa yang membuatkan saya marah tidak akan menyelesaikan masalah,” kata jurulatih Barca, Ernesto Valverde.

“Ia perlawanan yang mengejutkan, kerana keputusannya dan bagaimana ia berlaku. Mereka (Levante) berada pada prestasi terbaik, mereka amat efektif, mereka memulakan perlawanan dengan amat bagus dan mencetus banyak masalah buat kami menerusi serangan balas pantas.”

Kejutan terbesar musim ini menyaksikan Barca mengalami kekalahan pertama liga sejak tewas 0-3 kepada Malaga pada 8 April 2017, menamatkan pencapaian menakjubkan yang memecah rekod dan bertahan 43 perlawanan.

Ia juga kali pertama Barca melepaskan lima gol dalam La Liga sejak kecundang 1-5 di Malaga pada Disember 2003.

Kekalahan itu menyaksikan Barca mengutip 90 mata selepas 37 perlawanan, 12 mata di depan pasukan tangga kedua Atletico Madrid manakala Levante di tangga ke-15 dengan 46 mata.

“Kami tidak gembira, kami terlalu ingin menamatkan musim tanpa kalah tapi kami berdepan perlawanan sukar menentang pasukan yang bermotivasi tinggi dan apabila anda melepaskan lima gol, anda tidak berhak menang,” kata Coutinho.

“Hari ini tidak bagus buat kami, kami meninggalkan tempat ini dengan perasaan kecewa.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 7:43 AM