Messi (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika aksi La Liga membabitkan Barcelona menentang Levante. FOTO AFP
Messi (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika aksi La Liga membabitkan Barcelona menentang Levante. FOTO AFP
AFP

Madrid: Lionel Messi menjaringkan gol menarik tetapi harapan Barcelona untuk bergelar juara La Liga tampak sukar selepas seri 3-3 berdepan Levante, pagi ini sekali gus memberikan Real Madrid dan Atletico Madrid peluang menjarakkan kedudukan di puncak liga.

Satu lagi kesilapan boleh memberikan Atletico mendahului empat mata ke atas Barca dengan berbaki dua perlawanan jika mereka boleh menang ketika berkunjung ke Real Sociedad awal pagi esok.

Real Madrid pula akan mendahului dua mata daripada skuad kendalian Ronald Koeman jika menang pada aksi di tempat lawan berdepan Granada awal pagi Jumaat.

Belum ada jaminan mengenai kedudukan tempat teratas pencabar kejuaraan liga buat masa ini ketika minggu yang sukar.

"Kami sentiasa berharap kepada keputusan lain tapi matlamat kami adalah untuk menang tiga perlawanan kami dan mengharapkan pesaing tercicir mata. Sekarang ia semakin rumit," kata Koeman.

Levante berada di tangga ke-14 liga dan hanya menang sekali dalam lapan perlawanan terakhir mereka, tetapi cemerlang dalam tiga daripada empat perlawanan terakhir di laman sendiri menentang Barca, termasuk keputusan seri kali ini.

Barcelona mendahului 2-0 hasil rembatan akrobatik Messi dan tolakan mudah Pedri, tetapi Levante menyamakan kedudukan menerusi dua gol dalam tempoh dua minit di babak kedua hasil jaringan Gonzalo Melero dan Jose Luis Morales.

Ousmane Dembele kembali meletakkan Barca di depan tetapi Sergio Leon memastikan Levante mencuri satu mata di laman sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 9:53 AM