Paris: Zlatan Ibrahimovic (gambar) yang kembali bermain selepas digantung tiga perlawanan, menjadi pencetus kemenangan 2-0 Paris Saint Germain ke atas Nantes dalam saingan Ligue 1 kelmarin sekali gus membolehkan pasukannya semakin hampir untuk dinobat juara Liga Perancis musim ini.

Bintang Sweden itu mencipta gerakan menghasilkan kedua-dua jaringan apabila memperdayakan kapten Nantes Oswaldo Vizcarrondo sebelum menolak kepada Blaise Matuidi untuk gol pertama pasukan.

Edinson Cavani menambah jaringan susulan rembatan Ibrahimovic yang berjaya ditampan penjaga gol Nantes.

Kemenangan 2-0 itu membolehkan PSG mengumpul 74 mata di persada Ligue 1 sambil diekori Lyon, ketinggalan tiga mata dengan baki tiga perlawanan.

Selepas menjulang Piala Liga selain aksi final Piala Perancis menentang Auxerre pada 30 Mei, skuad kendalian Lauren Blanc dilihat mampu menyapu bersih gelaran domestik.

Ia kemenangan keenam berturut-turut PSG dan baki tiga perlawanan lagi dilihat mudah buat mereka apabila berkunjung ke Montpellier sebelum menanti kunjungan Guingamp serta Reims di Parc des Princes untuk melengkapkan jadual. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 8:27 AM