AFP

Paris: Jaringan menakjubkan Blaise Matuidi pada babak kedua membantu Paris Saint-Germain menang 1-0 ke atas Montpellier di gelanggang lawan awal pagi semalam ketika juara Perancis itu mengekalkan permulaan sempurna musim baru Ligue 1.

Gol Matuidi pada minit ke-61 membolehkan PSG menang pada perlawanan yang didominasi mereka sekalipun tidak banyak peluang dicipta di Stade de la Mosson.

Kelab dari ibu negara itu menang tiga perlawanan pertama kempen semasa, semuanya tanpa dibolosi sebarang gol sekali gus merakam permulaan terbaik musim sejak 1999.

Keputusan itu juga membolehkan mereka melebarkan rekod kelab dengan 12 kemenangan berturut-turut dalam Ligue 1, bermakna mereka kini kurang dua kemenangan daripada rekod keseluruhan disandang Bordeaux sejak 2009.

Laurent Blanc menjadi jurulatih pasukan Bordeaux ketika itu dan pasukan semasanya PSG kelihatan berada pada satu tahap berbanding pasukan lain di Perancis musim ini, sekalipun di Montpellier mereka berdepan lawan yang sudah kalah dua perlawanan pertama tanpa menjaringkan sebarang gol.

“Apa yang penting pasukan menang dan ia tiga perlawanan berturut-turut,” kata pemain terbaik perlawanan, Matuidi.

Paris sekali lagi tanpa khidmat Zlatan Ibrahimovic dan pemain baru dibeli Angel di Maria manakala Marco Verratti dan Javier Pastore diketepikan kerana kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2015 @ 5:03 AM