Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Kecewa! Itulah yang membelenggu perasaan pemain beregu campuran negara, Lai Pei Jing selepas nama serta gandingannya Tai Aik Quan tidak disenaraikan pada saingan Piala Sudirman 2015 di Dongguan, China bermula 10 hingga 17 Mei.

Jelas Pei Jing, pada awalnya dia sendiri tidak menyangka tidak disenaraikan ke Dongguan, tetapi keputusan Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen kelmarin nyata memberi kejutan kepada dirinya sendiri.

“Bila dapat tahu saya tak disenaraikan memanglah rasa marah sebab keputusan dilakukan pada saat akhir.

“Saya pun terkejut dan terus bertanya kepada jurulatih. Tetapi jurulatih pun pada awalnya tak tahu keputusan Frost,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan semalam.

Pei Jing berkata, persoalan itu kemudian diajukan terus kepada Frost dan bekas jaguh Denmark itu memberi alasan beliau mahu memberi peluang kepada gandingan lebih muda, Wong Fai Yin-Chow Mei Kuan untuk menimba pengalaman beraksi di kejohanan besar.

“Saya tidak boleh nak buat apa-apa. Kena terima keputusan ini,” katanya.

Bagaimanapun, di sebalik rasa kecewa itu, Pei Jing tetap positif dengan menganggap pendirian Frost itu mungkin untuk memberi lebih cabaran kepadanya supaya terus dapat meyakinkan pengurusan BAM untuk dihantar ke kejohanan yang besar.

“Saya tidak akan mudah menyerah kalah. Saya akan buktikan kepadanya gandingan dengan Aik Quan lebih bagus.

“Apa yang boleh saya katakan ialah keputusan Frost itu ada yang baik dan sebaliknya,” katanya.

Selain Fai Yin-Mei Kuan, Frost menyenaraikan pasangan beregu campuran pertama negara Chan Peng Soon- Goh Liu Ying untuk saingan di Dongguan yang akan diketuai jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2015 @ 9:42 AM