Wan Azizah (kanan) memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh. FOTO NSTP/Sairen Nafis
Wan Azizah (kanan) memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh. FOTO NSTP/Sairen Nafis
Oleh Hairulazim Mahmud dan Nurul Huda Kosnon


Bukit Mertajam: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerusi calonnya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengekalkan kerusi Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini.

Presiden PKR itu menang dengan majoriti 8,841 undi menewaskan pencabar terdekat Suhaimi Sabudin daripada Barisan Nasional (BN).

Wan Azizah memperoleh 30,316 undi manakala Suhaimi mendapat 21,475 undi.

Calon Bebas Salleh Isahak hanya mendapat 367 undi dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Azman Shah Othman pula 101 undi.

Kedua-dua calon itu hilang wang pertaruhan.

Sementara itu, Wan Azizah berkata, kemenangannya adalah untuk semua rakyat di Permatang Pauh.

"Alhamdulillah, kemenangan ini adalah bukti bahawa rakyat masih mahukan sebuah pakatan yang kuat.

"Kemenangan ini bukan hanya kepada PKR saja tetapi juga kepada semua rakyat di seluruh kawasan Permatang Pauh," katanya.

Menurutnya, kemenangannya juga bukti beliau masih relevan.

"Terima kasih dan tahniah diucapkan kepada kepimpinan PKR yang bertungkus-lumus untuk menjayakan PRK kali ini.

"Insya-Allah, segala isu yang dibangkitkan oleh penduduk di sini sepanjang PRK akan diselesaikan sebaiknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 12:13 AM