PENDUDUK mengeluarkan barangan dari kediaman mereka yang runtuh. - Reuters
PENDUDUK mengeluarkan barangan dari kediaman mereka yang runtuh. - Reuters
SEORANG askar membantu seorang wanita warga emas memakai topi keledar sebelum dibenarkan masuk ke apartmen miliknya untuk mengambil barangan peribadi. - AFP
SEORANG askar membantu seorang wanita warga emas memakai topi keledar sebelum dibenarkan masuk ke apartmen miliknya untuk mengambil barangan peribadi. - AFP

Mexico City: Seminggu selepas gempa bumi dengan magnitud 7.1 yang membunuh lebih 300 orang di Mexico, ribuan orang masih belum boleh pulang ke rumah mereka.

Selepas ‘berdiam’ seminggu, Mexico City kembali aktif perlahan-lahan dengan kesesakan lalu lintas mula dilihat susulan kira-kira 20 juta penduduk bandar itu mula kembali bekerja dan bersekolah.

Namun, kebanyakan penduduk hilang segala-galanya dalam gempa berkenaan.

Wartawan, Gerardo Alvarez, 31, berkata, dia dan isterinya menumpang rumah rakan sejak gempa itu berikutan struktur apartmen mereka masih terlalu membimbangkan.

“Kami tinggal sehelai sepinggang tetapi mujur ada pakaian yang didermakan.

“Kami kini mencari kediaman baru, namun nilai hartanah yang tidak rosak dalam gempa itu meningkat berlipat kali ganda dalam tempoh seminggu lalu,” katanya.

Datuk Bandar Mexico City Miguel Angel Mancera mengumumkan mereka yang hilang tempat tinggal dalam bencana itu akan menerima bantuan sokongan menyewa khemah dengan harga AS$170 (RM720) sebulan.

Sementara itu, arkitek dan jurutera yang memeriksa zon bencana untuk melihat sejauh mana 9,000 bangunan terbabit boleh dibaiki atau perlu dimusnahkan.

Tiga puluh sembilan bangunan runtuh dalam kejadian itu dan setakat ini, 700 dikesan perlu dibaiki, manakala 300 rosak teruk.

Gempa melanda pada ambang ulang tahun bencana seumpamanya pada 1985 yang membunuh lebih 10,000 orang, malah berlaku dua jam selepas latihan kecemasan diadakan setiap tahun untuk memperingati tragedi berkenaan.

Sejak Jumaat lalu, anggota penyelamat yang turut dibantu pasukan dari luar negara cuma menemui mayat, dan Presiden Enrique Pena mengumumkan kelmarin usaha pencarian cuma akan dilakukan sehingga esok.

Pasukan penyelamat dari Jepun, El Salvador, Honduras dan Panama sudah meninggalkan Mexico.

Jumlah kematian setakat ini direkodkan 333 orang dengan 194 daripadanya di Mexico City. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 8:54 AM