Johor Bahru: Sudah tiba masanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil pendekatan baru bagi membendung kekecohan yang sering dicetuskan penyokong dengan mengenakan denda pemotongan mata terhadap mana-mana pasukan yang bersaing pada Liga M.

Cadangan itu disuarakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menganggap tindakan itu lebih berkesan berbanding denda terhadap persatuan negeri dan kelab jika penyokong menimbulkan kekecohan.

“Dengan tindakan pemotongan mata tidak kiralah sama ada dikenakan kepada pasukan yang bersaing di Liga M termasuk Johor Darul Ta’zim (Johor DT) sudah pasti penyokong akan memikir untuk tidak melakukan sebarang kekecohan.

“Penyokong bukan pedulikan jika sekadar bayaran denda, tetapi jika potongan mata dikenakan terhadap pasukan, mereka tidak akan menimbulkan kekecohan bagi mengelak pasukan mereka dikenakan tindakan sedemikian.

“Kekecohan yang berlaku di Stadium Perak, Jumaat lalu apabila penyokong Johor DT terpaksa berdepan situasi menakutkan adalah tindakan pengecut dan menunjukkan sikap tidak bertamadun terutama penyokong yang mencetuskan kekecohan.

“Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) membuat laporan yang mendakwa penyokong Johor DT mencetuskan kekecohan dan saya ingin tahu secara rasional adakah kehadiran mereka lebih 100 orang mahu cetus kekecohan di depan lebih 30,000 penyokong Perak. Tentunya tidak masuk akal kerana penyokong Johor DT akan tahu mereka akan dibelasah.

“Penyokong Perak sering mencetus kekecohan dan ia terjadi ketika penyokong Selangor dan Sarawak pada musim lalu bertandang ke Stadium Perak. Malah, penyokong Johor DT mendapat layanan buruk sejak 2013 apabila dikepung,” kata Tunku Ismail.

Malah, Tunku Ismai menyifatkan PAFA sebagai pengecut kerana takut dikenakan denda oleh FAM dengan menyalahkan penyokong Johor DT yang memulakan kekecohan dan persoalan yang ingin ditimbulkan kenapa bas pemain Johor DT dilontar batu.

Beliau juga mahu penjelasan daripada PAFA mengenai kerosakan turut ditanggung pemilik kenderaan yang menjadi mangsa sikap tidak profesional penyokong pasukan itu.

“Saya anggap ia tindakan pengecut, malah saya juga menyalahkan FAM kerana tidak terlalu tegas dan tidak konsisten membuat keputusan. Sebagai badan induk bola sepak, FAM perlu mengambil pendekatan baru dengan mengenakan denda potongan mata dan itu yang boleh memberi pengajaran kepada penyokong dan pasukan,” kata Tunku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2015 @ 5:06 AM