TAUFEK (kiri) tidak setuju usul Tunku Ismail.
TAUFEK (kiri) tidak setuju usul Tunku Ismail.
Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: “Tidak adil kalau sesuatu pasukan itu bermain bermati-matian kemudian mata mereka dipotong angkara pihak ketiga,” kata bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Taufek Abd Razak yang tidak setuju saranan mengenakan hukuman memotong mata pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) sekiranya penyokong melakukan kekecohan.

Menurut Taufek, hukuman memotong mata pasukan sudah termaktub dalam Kod Tatatertib FAM namun beliau menganggap ia bukan jalan penyelesaian terbaik membendung gejala samseng bola sepak.

“Sebenarnya hukuman memotong mata pasukan bersalah memang ada dalam peruntukan Kod Tatatertib tapi ketika saya menjadi Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, saya tidak berminat mengenakannya.

“Isu penyokong melakukan kekecohan terlalu subjektif sebagai contoh, jika ada pihak sakit hati dengan Johor DT (Johor Darul Ta’zim), mereka akan menyamar sebagai penyokong Johor DT untuk membuat kecoh dan akhirnya Johor DT dikenakan hukuman.

“Bila kita memotong mata setiap kali kekecohan berlaku ia menjatuhkan moral pemain kerana ia angkara pihak ketiga sedangkan mereka berhempas pulas mendapatkan kemenangan,” katanya.

Bagi Taufek yang menjawat jawatan itu selama empat tahun sejak 2010, hukuman denda beraksi dalam stadium kosong lebih adil.

“Perkara terbaik sekali mengarahkan pasukan bersalah bermain dalam stadium kosong. Kalau penyokong fikir mereka mahu menyaksikan perlawanan di stadium, mereka harus berperangai elok. Saya tahu bila tiada penyokong, pendapatan persatuan negeri dan kelab merosot tapi FAM perlu bertindak tegas, jangan sampai ada penyokong mati baru nak kuatkuasakan peraturan,” tegasnya.

Beliau mengulas cadangan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim supaya FAM memotong mata pasukan sekiranya penyokong melakukan kekecohan berikutan insiden buruk di Stadium Perak, Ipoh membabitkan penyokong tuan rumah dengan Johor DT selepas aksi Liga Super, Sabtu lalu.

Taufek berkata, beliau pernah mengenakan hukuman beraksi tanpa penyokong empat perlawanan kepada Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) atas insiden kekecohan penyokong Bos Gaurus ketika perlawanan dengan Selangor pada 5 April 2014 dan Johor DT (15 April 2014) di Ipoh, namun kecewa apabila Jawatankuasa Rayuan menarik balik hukuman itu.

“Sepatutnya bila PAFA mengaku bersalah atas segala pertuduhan itu, rayuan tidak boleh dibuat. Itu yang saya kecewa, kalau kita tidak tegas insiden seperti ini terus berulang,” katanya.

Baginya lebih membimbangkan adalah jika insiden buruk terus berlaku dan FAM gagal menguatkuasakan peraturan, badan induk antarabangsa FIFA boleh mengambil tindakan.

“Jika ada pihak tertentu merujuk kepada FIFA dan didapati keputusan dibuat jawatankuasa sebelum ini tidak dilaksanakan, FIFA boleh mengambil tindakan terhadap FAM,” jelas Taufek.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2015 @ 8:09 AM