Penyokong JDT bersorak gembira di perkarangan Stadium Larkin sebelum bertolak ke Stadium Nasional Bukit Jalil, pagi ini.
Penyokong JDT bersorak gembira di perkarangan Stadium Larkin sebelum bertolak ke Stadium Nasional Bukit Jalil, pagi ini.
Rizar Mohd Noor


LAUNGAN `Bukit Jalil kami datang' bagaikan menyemarakkan lagi semangat penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) yang akan memberi sokongan kepada pasukan JDT pada aksi final Piala Malaysia menentang Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Timbalan Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Johor Darul Ta'zim (KPBJDT), Mohd Fadzli Sapie berkata, sebanyak 25 bas bertolak dari perkarangan Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin ke Bukit Jalil, pagi ini.

Katanya, urusan pembahagian tempat duduk membabitkan lebih 1,000 penyokong JDT berjalan lancar dan kerjasama di kalangan penyokong juga membuktikan betapa keinginan untuk melihat final piala berprestij begitu membara.

Ditanya mengenai peluang JDT sama ada mampu mengulangi kejayaan dua musim lalu apabila skuad Harimau Selatan muncul juara selepas menewaskan skuad Lang Merah, Mohd Fadzli tampak optimis juara Liga Super enam musim berturut-turut mampu membawa pulang piala berprestij ke bumi Johor.

"Kedah tampak sebuah pasukan berpengalaman apabila dua kali beraksi di pentas final musim ini tapi JDT juga memiliki kelebihan tersendiri dan kami sebagai penyokong optimis JDT mampu mengulangi kejayaan dua musim lalu.

“Namun kami enggan terlalu memberi tekanan kepada pemain JDT, biarlah mereka beraksi dengan tenang kerana mereka tahu tanggungjawab yang harus dilakukan untuk memberi `hadiah' kepada penyokong.

“Menang atau kalah adat pertandingan dan paling utama tidak berlaku sebarang provokasi sama ada di pihak penyokong JDT atau Kedah. Kami memegang prinsip bola sepak menyatukan penyokong dan biar pergi melihat bola dan pulang dengan gembira," katanya.

Mohd Fadzli menambah kekuatan penyokong JDT turut disertai penyokong Boy of Straits (BOS) yang sudah menempah 50 hingga 60 buah bas dan ia pasti meriah apabila penyokong berkenaan adalah pencetus utama semangat pemain JDT.

"Apapun kami berharap final malam ini diwarnai kualiti permainan bermutu dan pengadil perlawanan yang mengadili perlawanan itu juga perlu konsisten bagi menjamin rentak permainan tidak terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 November 2019 @ 10:36 AM