Kuala Lumpur: Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS menuju ke selatan tanah air apabila pusingan ketiga berlangsung di venue baru di Muar, Johor pada 1 dan 2 Mei.

Tidak seperti dua musim lalu apabila kejuaraan Cub Prix dilangsungkan di Stadium Sultan Ibrahim, kali ini perlumbaan berlangsung di Dataran Tanjung Emas, antara lokasi pelancongan menarik di Muar.

Perlumbaan di litar sepanjang 1.3 kilometer itu secara melawan arah jam serta mempunyai lima selekoh kiri, dua selekoh kanan dengan laluan lurus terpanjang sejauh 290 meter.

Sekalipun masih di peringkat awal musim, seluruh pasukan dan pelumba mempamerkan saingan cukup sengit yang menyaksikan juara bertukar tangan termasuk kelas perdana CP130 dengan Ahmad Fazli Sham (PETRONAS Yamaha Maju Motor) muncul juara sewaktu Pusingan 1 di Temerloh dan Elly Idzlianizar Ilias (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) memenangi Pusingan 2 di Batu Kawan.

Pertarungan sengit dijangka berterusan kali ini kerana tidak ada pasukan mempunyai kelebihan di litar yang pertama kali digunakan ini.

Mohd Zamri Baba mendahului kedudukan keseluruhan CP130 dengan 40 mata, dua mata di depan rakan sepasukan, Elly manakala Fazli Sham ketiga, 28 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2015 @ 5:14 AM