PELUMBA CP130 memecut di permulaan perlumbaan.
PELUMBA CP130 memecut di permulaan perlumbaan.

Kuala Lumpur: Gelaran juara CP130 Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berakhir di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang semalam menyemarakkan kembali semangat Elly Idzlianizar Ilias untuk terus mencipta nama dalam kancah arena permotoran negara.

Elly mempunyai rekod cemerlang apabila pernah mengharumkan nama negara setelah terpilih sebagai pelumba wildcard dalam saingan 125cc Kejuaraan GP Dunia bersama Zulfahmi Khairudin pada tahun 2009. Namun setakat ini, Elly masih gagal mencipta kejayaan dalam saingan kelas perdana CP130/Expert mahupun saingan CP115/Novis.

Elly yang kini bersama pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing pernah terlibat dengan kemalangan serius apabila mengalami retak tulang belakang dan memaksanya berehat untuk tempoh yang panjang pada tahun 2012.

“Saya berterima kasih kepada seluruh pasukan, keluarga dan juga rakan-rakan serta penyokong yang banyak memberikan sokongan selama ini. Kemenangan ini amat bermakna terutama setelah saya kembali ke pasukan SCK Racing tahun ini,” katanya yang kini berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan 38 mata, dua mata ketinggalan kepada rakan sepasukan, Mohd Zamri Baba yang mengumpul 40 mata hasil dua gelaran naib juara.

Tambah Elly: “Sudah agak lama saya berada dalam kejuaraan ini dan banyak kemenangan telah saya raih namun masih gagal untuk meraih gelaran keseluruhan tidak kira ketika beraksi dalam kelas CP115/Novis dan CP130/Expert. Malah prestasi saya juga seakan tenggelam timbul dan tidak konsisten. Jadi saya benar-benar berharap agar tahun ini menjadi tahun berbeza kepada saya.”

Pelumba Perlis itu menamatkan 18 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 16’17.765s manakala Zamri kedua 16’21.354s.

Abd Muhaimin Roslan (PETRONAS Maju Motor) memusnahkan harapan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing apabila memintas pelumba muda mereka, Mohd Hafiz Nor Azman pada selekoh terakhir untuk meraih tempat ketiga 16’22.058s.

Menyentuh tentang perlumbaan, Elly berkata dia bermula agak baik dan pelumba pasukan SCK berjaya mendominasi empat kedudukan hadapan sebelum Norizman Ismail mengalami masalah jentera.

“Kami tidak merancang apa-apa strategi dan hanya memberikan yang terbaik untuk mengejar gelaran individu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 7:24 AM