Kuala Lumpur: Selepas lebih sedekad beraksi dalam kelas Expert dan CP130, Elly Idzlianizar Ilias memasang impian untuk meraih gelaran terbaik sebagai juara keseluruhan kelas perdana CP130 sebelum mengakhiri kariernya di pentas Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS.

Pada usia 32 tahun, pelumba yang berasal dari Kangar, Perlis itu masih gagal memenangi gelaran berkenaan berbanding rakan senior lain seperti Ahmad Fazli Sham, Norizman Ismail dan Ahmad Fazrul Sham yang sudah memiliki koleksi sebagai juara Expert dan CP130.

Dia yang mengaku kariernya semakin menuju ke penghujung dan bakal mengikut jejak langkah Ahmad Fuad Baharudin yang bersara pada 2014, Elly bertekad untuk bangkit memberikan cabaran dan kekal fokus menghadapi baki saingan kelas CP130 musim ini selepas mempamer aksi kurang memberangsangkan apabila sekadar menamatkan saingan Pusingan 1 di Serdang, Selangor di tangga ke-10 dan gagal menamatkan perlumbaan di Batu Kawan, Pulau Pinang akibat kecederaan.

“Dua pusingan lalu agak mengecewakan saya. Selain masih gagal untuk mendapatkan keserasian dan pelarasan jentera yang terbaik, masalah kecederaan juga menghalang saya daripada memulakan perlumbaan akhir di Batu Kawan,” jelas Elly yang memasuki musim ketiga bersama pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing.

Keputusan itu meletakkan Elly di tangga ke-13 keseluruhan dengan mengumpul enam mata, 39 mata di belakang pendahulu Ahmad Fazli Sham dan 25 mata di belakang rakan sepasukan Norizman Ismail yang berada di kedudukan kedua dengan 31 mata.

Pada perlumbaan di Kangar, Elly mengharapkan keputusan lebih baik bagi menebus kehampaan dan merapatkan jurang dengan kelompok pelumba teratas.

“Kecederaan tangan yang dihadapi di Batu kawan sehingga terpaksa menarik diri sudah pulih sepenuhnya, jadi saya lebih bersedia untuk turun ke litar minggu ini.

“Namun saya tidak mahu terlalu meletakkan harapan atau sebarang tekanan kerana tidak mahu insiden musim lepas berulang. Ketika itu saya terjatuh dan gagal menamatkan perlumbaan, mungkin akibat tekanan untuk memberikan yang terbaik di hadapan penyokong sendiri dan ditambah dengan keadaan litar yang basah,” jelas Elly yang pernah menjadi pelumba wildcard negara di pentas MotoGP pada 2009.

Mengulas lanjut, bapa kepada dua cahaya mata itu berkata: “Memang impian saya sama seperti pelumba lain yang mahukan gelaran keseluruhan sebelum menamatkan karier. Saya pun sudah lama dalam kejuaraan ini dan mungkin akan bersara dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi. Kalau boleh, biarlah saya dapat memegang gelaran terlebih dulu sebelum mengundurkan diri dari arena Cub Prix ini.

“Saya berterima kasih kepada pengurus Soong Chee Kieong kerana memberi peluang untuk terus berkhidmat bersama pasukan. Pasukan ini antara yang terbaik dalam kelas ini dan saya yakin gabungan pelumba dan pasukan mampu menghasilkan kejayaan yang diinginkan.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2016 @ 7:53 AM