Shah Alam: Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus mengunci mulut berhubung calon yang bakal dipilih dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh pada 7 Mei ini.

Presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihaknya masih belum mahu mengumumkan nama calon dalam masa terdekat.

Sebaliknya, beliau berkata, parti itu hanya akan mengumumkan operasi dalam PRK berkenaan pada 14 April ini.

“Kami akan adakan mesyuarat dan perbincangan mengenai calon yang akan dipilih kelak. Harap semua bersabar,” katanya ketika ditemui di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini, semalam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), semalam mengumumkan 7 Mei ini sebagai hari mengundi bagi Parlimen Permatang Pauh.

PRK kawasan itu diadakan selepas penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen selepas hilang kelayakan kerana pengampunannya ditolak Lembaga Pengampunan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 9:44 AM