ZAINAL (tengah) membuka kertas pencalonan kerusi presiden KOM.
ZAINAL (tengah) membuka kertas pencalonan kerusi presiden KOM.
Oleh Mohd Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: “Macam tak masuk akal dan pelik, bagaimana beliau (Datuk Karim Ibrahim) boleh bertanding semula biarpun jelas pernah memalukan sukan olahraga negara.”

Itu pandangan bekas jurulatih skuad pelapis negara Hamberi Mahat yang hairan dengan tindakan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) membenarkan Karim yang juga bekas Timbalan Presiden KOM bersaing merebut kerusi presiden badan induk itu pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KOM penggal 2014-2016, 1 November ini.

“Terus-terang saya katakan, kami (atlet dan bekas atlet) tidak faham apa yang sedang berlaku.

“Jelas dalam laporan VC George (Tan Sri VC George) dulu, melaporkan dia punca kepada semua masalah yang wujud dalam KOM.

“Jika nak kata presiden sekarang (Datuk Zainal Abidin Ahmad) gagal, beliau pun apa kurangnya. Sekurang-kurangnya Zainal baru sepenggal (dua tahun) memegang KOM, sebaliknya Karim dulu memimpin KOM agak lama dari 2006 hingga 2012.

“Soalan saya, sepanjang enam tahun itu apakah sumbangan paling besar beliau kepada olahraga?” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Kredibiliti Karim mula dipersoal dua tahun lalu, apabila sekumpulan jurulatih dan atlet olahraga negara menyerahkan petisyen setebal 23 muka surat bertajuk: Laporan Jurulatih dan Atlet Olahraga Kebangsaan kepada bekas Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Petisyen ditandatangani kesemua 58 atlet dan jurulatih, antara lain meminta Karim disingkirkan selain memuatkan aduan dan keluhan jurulatih tempatan mengenai salah laku beliau.

Pada Oktober 2012, KOM mengenakan penggantungan enam tahun hasil persetujuan dimeterai dalam mesyuarat ahli majlis badan induk itu berdasarkan laporan jawatankuasa siasatan dipengerusikan George.

Bagaimanapun, Karim yang tidak puas hati dengan keputusan itu membawa kesnya ke mahkamah dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zaleha Yusof mengetepikan perintah penggantungan enam tahun itu.

Menurut Hamberi lagi, dia dan beberapa bekas atlet negara merancang bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin buat menyerahkan laporan George kepadanya di samping petisyen yang pernah dikemukakan dulu.

“Kami ada merancang bertemu menteri dalam masa terdekat, untuk berbincang dan menyampaikan pandangan selaku bekas atlet,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 5:10 AM