BEKAS Presiden KOM, Karim Ibrahim. -FOTO NSTP
BEKAS Presiden KOM, Karim Ibrahim. -FOTO NSTP
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Datuk Karim Ibrahim menyelar sikap menuding jari bekas Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk SM Muthu berhubung isu pelantikan Pengarah Teknikal KOM, Dwanye Miller dari Amerika Syarikat (AS).

Muthu menerusi laporan Arena Metro semalam menegaskan pelantikan Miller sebelum ini bukanlah daripada idea beliau sebaliknya dirinya hanya meneruskan perancangan oleh presiden terdahulu iaitu Karim yang ingin menggunakan kepakaran jurulatih daripada AS itu.

Justeru katanya, kegagalan Miller dalam mengendalikan atlet tidak seharusnya diletakkan dibahunya seorang.

Membalas dakwaan itu, Karim berkata, Muthu tidak perlu untuk menyalahkannya berikutan kegagalan itu kerana beliau mempunyai kuasa untuk membatalkan kontrak Miller ketika menggalas tugas sebagai Presiden KOM.

"Bila saya keluar KOM, Miller datang. Kalau dia (Muthu) nak batal (kontrak), dia boleh batalkan lebih awal.

"Tapi (bila) Miller dah datang dia (Muthu) pun ambil publisiti dengan Miller. Bagi saya isunya ialah mereka tidak tahu bagaimana untuk menyelia dan menggunakan khidmatnya (Miller) di sesi latihan.

"Lepas itu, MSN (Majlis Sukan Negara) pula nak pecat Miller, tapi Muthu dengan Mumtaz (Timbalan Presiden KOM, Datuk Mumtaz Jaafar) pula cakap tak boleh (pecat)," katanya.

Jelas Karim, daripada menuding jari kepadanya, Muthu dinasihatkan untuk mengakui kegagalannya semasa menggalas jawatan selaku Presiden KOM.

Nama Muthu dikaitkan dengan kegagalan Miller dan skuad olahraga negara di temasya Sukan Sea Hanoi, Vietnam apabila tiada satupun pingat dihadiahkan dalam acara trek.

Ia dikatakan satu pelaburan tidak berbaloi apabila dikhabarkan Miller menerima bayaran gaji sejumlah RM30,000 sebulan.

Ahad lalu, Muthu gagal mempertahankan jawatan Presiden KOM apabila tewas kepada Datuk Seri Shahidan Kassim yang sekali lagi diberi kepercayaan mengemudi badan induk itu bagi penggal 2022/2005

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2022 @ 2:46 PM